Boleh guna duit RM66,000 ternak babi, Jamal sindir Teresa

Boleh guna duit RM66,000 ternak babi, Jamal sindir Teresa

Jamal Yunos lelong selipar dan tuala RM66,000 untuk bayar kos kepada Teresa Kok.

Jamal Yunos berkata sebaik bayaran diterima beliau akan menyalurkan wang itu kepada Teresa Kok bagi menyelesaikan tuntutan kos seperti diperintahkan mahkamah.
PETALING JAYA:
Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos mendakwa berjaya mengumpul RM66,000 hasil lelongan sebelah selipar dan sehelai tuala miliknya bagi menjelaskan kos mahkamah kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Jamal berkata, dua barangan itu yang sebelum ini digunakan dalam satu demonstrasi isu gangguan bekalan air di Selangor, dibida dua individu sehingga mencapai jumlah sama seperti tuntutan kos perlu dibayarnya.

“Hari ini hasil bidaan dua barang iaitu sebelah selipar saya dan tuala yang saya gunakan dalam satu demonstrasi berjaya dilelong sebanyak RM66,000,” katanya dalam video di Facebook.

Jamal berkata, lelongan itu diteruskan walaupun proses lelongan mahkamah terhadap asetnya ditangguhkan selepas anaknya, Muhammad Amin Danial, memperoleh penangguhan sehari sebelum pelaksanaan.

Katanya, dua pembida masing-masing dari Negeri Sembilan dan Sabah, dengan setiap seorang membida RM33,000 bagi setiap barangan.

Beliau turut mendakwa, salah seorang pembida berhasrat membingkaikan selipar itu sebelum dihantar ke pejabat Kok dalam masa terdekat.

Menurutnya, sebaik sahaja bayaran diterima, beliau akan menyalurkan wang itu kepada Kok bagi menyelesaikan tuntutan kos seperti diperintahkan mahkamah.

“Saya jangka bayaran diterima dalam masa terdekat dan kami akan bayar duit itu kepada Teresa,” katanya.

Jamal turut menyindir Kok berhubung cadangannya supaya wang itu digunakan untuk memulakan penternakan babi secara kecil-kecilan.

“Bolehlah beliau menggunakan duit sebanyak RM66,000 ini untuk memulakan usaha kecil-kecilan di belakang rumah dia atau di pekarangan rumah untuk memelihara atau menternak babi,” katanya.

Beliau turut mendakwa, tindakan penyitaan sebelum ini mencemarkan maruahnya apabila pegawai mahkamah bersama polis memasuki kediamannya bagi melaksanakan perintah itu.

Media sebelum ini melaporkan aset Jamal berjumlah lebih RM66,000 disita susulan kegagalannya melunaskan kos kepada Kok, sebelum beliau mengumumkan hasrat melelong sebelah seliparnya bagi tujuan itu.

Pertikaian antara kedua-dua pihak itu berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan menyaksikan beberapa prosiding mahkamah, termasuk perintah pembayaran kos yang menjadi punca kepada tindakan penyitaan tersebut.

Kok memfailkan saman pada 6 April 2017 dengan mendakwa Jamal membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dalam sidang media 8 Mac tahun sama, yang disebarkan menerusi media cetak dan elektronik, termasuk laman Facebook Jamal.

Katanya, kenyataan Jamal memberikan gambaran beliau tidak beretika dan menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi.

Pada 26 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Arief Emran Arifin memerintahkan Jamal membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Kok.

Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada pemimpin DAP itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.