Zambry nafi IPT tawar kursus ‘lelong, tak laku’

Zambry nafi IPT tawar kursus ‘lelong, tak laku’

Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata terdapat beberapa universiti yang menggugurkan sesetengah kursus dianggap tidak lagi relevan.

Zambry Abd Kadir
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata kementerian, pihak berkaitan dan IPT menilai kursus ditawarkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun bagi memastikan ia masih relevan dengan keperluan pasaran.
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir menafikan dakwaan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan tidak menawarkan program sejajar keperluan pasaran dan perancangan kerajaan.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan pihak berkaitan, khususnya Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan IPT sentiasa membuat penilaian dalam tempoh tiga hingga lima tahun ke atas kursus ditawarkan bagi memastikan ia masih relevan dengan kehendak pasaran.

“Maksudnya proses itu sentiasa berlaku dan tidak ada masalah seperti disebutkan (wujud) ‘kursus lelong’ atau kursus ‘tidak laku’ kita bagi kepada pelajar.

“Ada keperluan yang diperlukan pasaran, manakala asas kepada teras pendidikan juga kita tidak boleh korbankan kerana ia menjadi asas untuk membentuk manusia. Itu jangan kita lupa,” katanya menurut Berita Harian selepas menghadiri sebuah majlis di Kota Kinabalu.

Tegasnya, kursus ditawarkan IPT sentiasa dalam perancangan bersama pelbagai kementerian, dengan melihat secara keseluruhan pelbagai sektor dan bidang bagi memenuhi keperluan negara.

Zambry berkata terdapat beberapa universiti yang menggugurkan sesetengah kursus dianggap tidak lagi relevan.

“Sebagai contoh, di Universiti Utara Malaysia (UUM), ada 19 program yang dijumudkan kerana tidak lagi relevan. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di mana ada 39 program mereka, sama ada (sedang) buat proses pemutihan ataupun membuat proses menilai semula (sekiranya ia) masih relevan.”

Beliau berkata, pihaknya sentiasa terbuka menerima pandangan dan beliau menyangkal dakwaan KPT tidak mahu menerima sebarang teguran.

“Pandangan kita sentiasa terbuka kerana kita ada pelbagai pihak pakar. Masalahnya, ada kalangan tertentu yang merasakan pandangan mereka saja betul. Tidak bolehlah ada sikap seolah-olah kita saja yang tahu sebab zaman untuk kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir.

“Perkara ini sering kita sebutkan, apatah lagi dalam konteks pendidikan tinggi. Maka, tentunya kita perlukan saranan dan pandangan baharu kerana rakyat Malaysia mempunyai pengetahuan tinggi, kemahiran baik yang boleh memberikan cadangan terbaik untuk negara secara keseluruhannya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.