Gengster ‘kuasai’ bilik mayat hospital, dedah bekas doktor

Gengster ‘kuasai’ bilik mayat hospital, dedah bekas doktor

Kumpulan gengster akan muncul selepas kematian dilaporkan di jabatan kecemasan atau wad hospital malah adakala sebelum sesuatu kematian disahkan.

bilik mayat mortuary mortuari
Sebelum ini kakitangan bilik mayat hospital diberi amaran keras tidak menerima bayaran, hadiah atau sumbangan sebagai balasan mengendalikan mayat atau memberi maklumat si mati. (Gambar KKM)
PETALING JAYA:
Seorang bekas doktor mendakwa kumpulan gengster yang juga ejen perkhidmatan pengurusan jenazah ‘menguasai’ bilik mayat sebuah hospital di Sarawak sehingga mencetuskan pergaduhan dan ketegangan.

Hanya mahu dikenali sebagai Johan, bekas kakitangan awam itu berkata kumpulan gengster tersebut akan muncul selepas kematian dilaporkan di jabatan kecemasan atau wad hospital malah adakala sebelum sesuatu kematian disahkan.

“Kami tahu pasti ada ‘orang dalam’ yang menyalurkan maklumat dan tentunya mereka dibayar untuk itu,” katanya kepada FMT.

Pada 14 Julai lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan amaran keras kepada kakitangan bilik mayat hospital supaya tidak menerima sebarang bentuk bayaran, hadiah atau sumbangan sebagai balasan mengendalikan mayat atau memberi maklumat si mati.

Dalam pekeliling kepada semua hospital, KKM menjelaskan penerimaan wang atau bekerjasama dengan ejen perkhidmatan pengebumian boleh dianggap rasuah dan kakitangan hospital turut dilarang memberi pihak ketiga khasnya syarikat perkhidmatan pengebumian atau ejen sebarang maklumat si mati.

KKM berkata, arahan itu bagi melindungi integriti perkhidmatan bilik mayat dan memastikan ia diserahkan kepada waris tanpa gangguan atau salah laku.

Dalam pada itu, Johan yang pernah bersama KKM selama lebih dua dekad berkata kumpulan tersebut akan menyasarkan jenazah bukan Islam dan ia masih berlaku sehingga hari ini.

“Seorang rakan yang bertugas di hospital itu mengesahkan ejen tersebut masih lagi berkerumun di jabatan kecemasan dan bilik mayat sampai sekarang,” katanya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan keluarga si mati yang masih dalam keadaan terkejut dan bersedih ditekan untuk membuat keputusan segera tanpa diberi banyak pilihan perkhidmatan pengebumian.

Menurutnya, malah ada antara beberapa pengusaha perkhidmatan jenazah sering berebut ‘wilayah operasi’ sehingga mencetuskan pergaduhan di jabatan kecemasan hospital awam dan hospital swasta di Kuching.

“Saya masih ingat satu kejadian di mana sebuah kereta milik salah seorang gengster yang terlibat dalam pergaduhan dibakar berhampiran kawasan hospital,” katanya.

Sementara itu, seorang waris kepada jenazah bukan Islam mendedahkan didesak untuk membayar RM200 oleh kakitangan sebuah hospital di Cheras ketika proses pengecaman mayat pada 2017.

“Agak terkilan kerana sedang dilanda musibah ada ‘seseorang’ yang bertugas meminta RM200 sebagai bayaran. Untuk apakah bayaran itu, kenapa perlu minta depan mayat dan tidak melakukannya di kaunter bagi urusan pembayaran.

“Bukankah tindakan meminta wang kepada waris melanggar SOP,” katanya memaklumkan jumlah diminta itu bukan kecil bagi waris yang kurang berkemampuan.

FMT telah menghubungi KKM dan hospital terbabit untuk mendapatkan maklum balas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.