
“Insya-Allah dengan RM66,000 tuntutan daripada Teresa Kok kononnya nak sita barang, perabot rumah saya. Saya rasa hajat dia takkan tercapai dalam sehari, dua ini.
“Saya akan lelong sebelah selipar saya untuk bayar duit ganti kepada Teresa Kok,” katanya menurut Harian Metro dalam video tular di media sosial.
Semalam, media melaporkan 14 harta alih disita dari kediaman Jamal selepas beliau gagal menjelaskan kos penghakiman tertunggak berjumlah RM66,061.85 kepada Kok.
Peguam SN Nair yang mewakili Kok dilaporkan berkata, penolong kanan pendaftar bersama bailif, peguam G Maniggan dan peguam dari firma guaman SN Nair & Partners serta pegawai polis tiba di kediaman Jamal di Ampang Jaya untuk melaksanakan writ penyitaan dan penjualan pada 11.42 pagi.
Kok memfailkan saman itu pada 6 April 2017 dengan mendakwa Jamal membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dalam sidang media 8 Mac tahun sama, yang disebarkan menerusi media cetak dan elektronik, termasuk laman Facebook Jamal.
Katanya, kenyataan Jamal itu memberikan gambaran beliau tidak beretika dan menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi.
Pada 26 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Arief Emran Arifin memerintahkan Jamal membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 dan kos RM50,000 kepada Kok.
Pada 30 Julai 2024, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Jamal mendapat kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada pemimpin DAP itu.