
Mereka hanya menyedari kehilangan bayi tersebut selepas tiba di rumah.
News.com.au memetik The Sun melaporkan anak kecil itu ditemui berseorangan di tempat duduk troli pasar raya di Lages, Brazil, dalam kejadian yang berlaku beberapa hari lalu itu.
Pembeli lain yang menemui bayi itu terus memaklumkan kepada pengawal keselamatan dan polis.
Seorang daripadanya yang merakam kejadian itu malah didengar ‘berbual’ dengan bayi berkenaan dan bertanya di mana ibu bapanya.
“Mereka tinggalkan kamu di sinikah? Saya sudah memaklumkan kepada pengawal keselamatan. Mana ibu bapa kamu yang pelupa itu?” soalnya.
Bayi itu tidak nampak ketakutan, sebaliknya hanya senyum dan ketawa comel sepanjang kejadian.
Portal media tempatan melaporkan ibu bapanya kembali ke situ untuk mengambil bayi mereka apabila menyedari kehilangannya selepas beredar dari situ.
Mereka memaklumkan polis, bayi itu tertinggal selepas mereka sibuk mengangkat barangan dibeli ke dalam kereta lalu terus pulang tanpa menyedari si anak masih berada dalam troli.
Pasangan itu yang jelas kerisauan terus bergegas semula ke situ. Polis berkata, mereka nyata trauma dan tidak akan dikenakan sebarang tindakan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]