2 beranak dibunuh, polis tahan suami

2 beranak dibunuh, polis tahan suami

Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata penahanan itu bagi membantu siasatan kes.

Anak dan ibu dibunuh
Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail, berkata polis masih dalam proses siasatan lanjut bagi kenal pasti suspek dan motif kejadian sebenar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lelaki dipercayai suami ditahan susulan penemuan mayat isteri dan anaknya yang dibunuh, di Kampung Sekolah Juru, Bukit Mertajam, malam tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail, berkata penahanan itu bagi membantu siasatan kes.

Katanya kepada Astro Awani, setakat ini polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek dan motif kejadian sebenar dengan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, mayat dua beranak berkenaan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk proses bedah siasat hari ini.

Terdahulu, mayat wanita dan anak perempuannya dibawa keluar dari rumah sewa mereka kira- kira 1.45 pagi tadi selepas pihak forensik dan patalogi selesai membuat siasatan.

Pemeriksaan sekitar rumah juga dilakukan pihak polis bagi mencari bahan bukti bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurut laporan, mangsa berasal dari Sik, Kedah, dan ahli keluarga turut hadir di lokasi kejadian, namun kehadiran mereka dikawal pihak polis.

Semalam, Bernama melaporkan mayat dua beranak itu ditemui suami wanita berkenaan yang pulang ke rumah kira-kira 7.30 malam Sabtu.

Difahamkan, mayat wanita berusia lingkungan 50-an itu ditemui di bahagian dapur tingkat bawah rumah terbabit, manakala anak perempuannya berusia 11 tahun ditemui di tingkat atas kediaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.