Wakil rakyat diminta salur maklumat anak yatim mangsa Covid kepada YKM

Wakil rakyat diminta salur maklumat anak yatim mangsa Covid kepada YKM

Setakat ini hanya sekitar 1,000 sahaja mendaftar bawah Bantuan Kasih disalurkan secara bulanan.

Ismail Sabri Yaakob menyampaikan bantuan sempena Hari Deepavali kepada S Mitra yang kehilangan bapanya akibat Covid-19 pada Februari 2022 yang kini menumpang di rumah bapa saudaranya di Taman Merlimau Utara, Melaka.
PETALING JAYA:
Pemimpin masyarakat khususnya Ahli Parlimen dan Adun seluruh negara diminta menyalurkan maklumat kepada Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) dalam usaha membantu anak yatim kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.

Pengerusi YKM, Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini hanya sekitar 1,000 sahaja mendaftar bawah Bantuan Kasih disalurkan secara bulanan dan berharap lebih ramai berbuat demikian.

“Saya percaya masih ramai yang belum tahu bagaimana hendak mendaftar bagi bantuan yang disalurkan YKM ini terutama anak-anak yang kehilangan ibu atau ayah kerana Covid-19 dan saya mengalu-alukan maklumat mengenai mereka ini daripada Adun kawasan.

“Pendaftaran Bantuan Kasih masih terbuka kepada mereka yang layak dan kita mahu pastikan tiada sesiapa tertinggal daripada menerima sumbangan bulanan berjumlah RM200 bagi berumur 16 tahun ke bawah manakala RM250 bagi 16 tahun ke atas,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, bekas perdana menteri menyampaikan bantuan perayaan sempena Deepavali kepada S Mitra, 16, yang kehilangan bapanya akibat Covid-19 pada Februari 2022.

Ramaja itu kini menumpang di rumah bapa saudaranya R Murugappan di Taman Merlimau Utara, Jasin, Melaka.

Hadir sama Adun Merlimau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dr Akmal Saleh

Ismail berkata, selain Mitra sebanyak 10 keluarga berbangsa India di seluruh negara akan menerima bantuan sempena Deepavali dengan sumbangan akan mula dimasukkan ke dalam akaun bank masing-masing bermula esok.

Dalam pada itu, beliau berkata hingga September lalu YKM menyalurkan lebih RM3 juta bagi Bantuan Kasih, Bantuan Perayaan dan Bantuan Menara Gading dan dijangka mencecah RM5 juta hujung tahun ini.

Katanya, YKM komited membantu anak-anak dalam bidang pendidikan dan akan terus menyalurkan sumbangan sehingga mereka tamat pengajian.

“Ini mencerminkan usaha berterusan terhadap kebajikan dan pendidikan anak-anak yatim dan yatim piatu yang terkesan akibat Covid-19,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.