Polis tahan lelaki tetak isteri, anak perempuan guna parang

Polis tahan lelaki tetak isteri, anak perempuan guna parang

Kejadian di Permai Jaya itu menyebabkan isteri suspek dirawat di ICU manakala anak perempuannya cedera parah di kepala.

Ketua Polis Sibu Zulkipli Suhaili berkata motif suspek berusia 57 tahun menetak isteri dan anak perempuannya itu masih dalam siasatan. (Gambar fail)
SIBU:
Polis berjaya menahan seorang lelaki kerana disyaki menetak isteri dan anak perempuannya menggunakan sebilah parang hingga menyebabkan kedua-duanya cedera parah di kediaman mereka di Permai Jaya di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Sibu Zulkipli Suhaili berkata suspek berusia 57 tahun ditangkap pasukan petugas khas di kawasan Kanowit pada 4.15 petang tadi.

“Suspek akan direman di Mahkamah Sibu pada esok bagi membantu siasatan. Polis masih berusaha mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Zulkipli berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pergaduhan melibatkan kecederaan parah terhadap dua beranak kira-kira 7 pagi.

“Laporan polis diterima melalui panggilan kecemasan MERS 999 yang dibuat oleh seorang daripada mangsa, memaklumkan dia dan ibunya ditetak menggunakan parang oleh ayahnya sendiri,” jelasnya.

Susulan laporan itu, satu pasukan petugas khas ditubuhkan untuk mengesan suspek dan hasil tindakan pantas polis berjaya menangkapnya di Kanowit.

Akibat serangan itu, isteri suspek dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu, manakala anak perempuan berusia 20 tahun mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala tetapi dilaporkan stabil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.