
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata perkara itu antara penambahbaikan dibuat menerusi RUU berkenaan susulan pemansuhan kadar sama rata dan kaedah Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli kadar tetap bawah Akta Sewa Beli 1967 (Akta 212).
Katanya, RUU itu juga merangkumi pengenalan penggunaan kadar faedah efektif dan kaedah pengurangan baki lebih telus dan adil kepada pengguna.
“Selain itu, ia juga bakal membenarkan penggunaan teknologi semasa untuk perjanjian sewa beli serta mengemas kini peruntukan merujuk istilah kadar asas pinjaman bagi penyelarasan dengan Rangka Kerja Kadar Rujukan Bank Negara Malaysia (BNM) yang dikemas kini,” katanya ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.
Beliau berkata, RUU itu juga bertujuan menambah baik Akta 212, menjadikannya lebih komprehensif, kondusif serta sesuai dengan peredaran masa, selain lebih adil dan saksama kepada pengguna, serta menangani isu kekangan penerimaan digitalisasi dalam aktiviti sewa beli.
“Pindaan kepada Akta 212 melalui RUU Sewa Beli (Pindaan) 2025 adalah langkah penting dalam usaha memperkukuh perlindungan pengguna dalam urusan pinjaman sewa beli di negara ini.
“Dalam persekitaran kos sara hidup semakin mencabar dan akses kepada pembiayaan menjadi keperluan, pengguna memerlukan undang-undang lebih adil, telus dan responsif terhadap keperluan semasa,” katanya.
Menurutnya, RUU itu bukan sahaja memodenkan undang-undang sewa beli sedia ada, malah mencerminkan komitmen kerajaan melindungi kepentingan pengguna dalam memastikan sistem pembiayaan dalam negara lebih adil, telus dan inklusif.
Sementara itu, Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) menyambut baik RUU tersebut dan menyifatkannya sebagai berpihak kepada rakyat.
Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah) pula berkata pindaan RUU itu mampu melindungi pengguna daripada menjadi mangsa manipulasi syarikat yang menawarkan perjanjian kontrak sewa beli berat sebelah.
RUU itu kemudian diluluskan dengan suara majoriti selepas 20 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang berbahas.