Anak 2 tahun lemas dalam lubang pembetung, bapa didakwa cuai

Anak 2 tahun lemas dalam lubang pembetung, bapa didakwa cuai

Tertuduh mengaku tidak bersalah susulan anak lelakinya jatuh dalam lubang pembetung di Sibu.

sibu
Mahkamah Sesyen Sibu benar tertuduh Ling Hoe Hock, 54, diikat jamin RM7,000 dengan pengurusan kes ditetapkan pada 30 Okt.
PETALING JAYA:
Bapa tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen Sibu atas pendakwaan pengabaian anak lelaki berusia dua tahun yang lemas selepas terjatuh dalam lubang pembetung tidak bertutup, di Jalan Dr Wong Soon Kai, Sibu, bulan lalu.

Tertuduh, Ling Hoe Hock, 54, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Mengikut pertuduhan, Ling didakwa mengabaikan anaknya, Ethan Ling, apabila meninggalkannya tanpa pengawasan sehingga menyebabkan kanak-kanak itu lemas, 6.20 petang, 4 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut Harian Metro, Timbalan Pendakwa Raya Cynthia Emmelda Jerry mencadangkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin tempatan atas alasan risiko tertuduh melarikan diri.

Namun, peguam bela Jessie Wong memohon jumlah jaminan minimum RM1,000 atas alasan tertuduh hadir secara sukarela ke mahkamah.

Jessie juga memaklumkan, tertuduh tidak bekerja dan menjaga tiga anaknya, manakala isterinya yang bekerja di Singapura sudah berhenti kerja dan kini menganggur.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM7,000 dan menetapkan 30 Okt sebagai tarikh pengurusan kes.

Pada 4 Ogos lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun disahkan mati selepas terjatuh dalam lubang pembetung di Sibu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, berkata anggota Balai Bomba Sibu Sentral dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan, pada 6.29 petang.

Anggota bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat menemukan jasad mangsa terapung dalam pembetung itu, pada 7 malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.