
Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN–Alor Setar) berkata, tugas suri rumah yang menjaga anak seharusnya dianggap setaraf pekerjaan profesional.
“Untuk kasih sayang ibu bapa diberi kepada kanak-kanak, apakah Kubang Kerian setuju kalau kerajaan boleh pertimbang, di mana suri rumah dianggap satu pekerjaan profesional dan diberi elaun sesuai, baru ibu boleh sepenuh masa beri kasih sayang kepada anak-anak di rumah,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Tuan Ibrahim Tuan Man (PN–Kubang Kerian) berhubung laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial berkaitan pendidikan awal.
Tuan Ibrahim menyatakan sokongan terhadap cadangan itu dan berkata ramai ibu bapa kini terpaksa menghantar anak ke pusat jagaan seawal usia tiga bulan kerana tuntutan ekonomi.
“Saya setuju 100% dengan Alor Setar. Cuma kita bayangkan kos hantar anak, kadang-kadang elaun ibu bekerja habis di situ (untuk bayar upah pengasuh) sahaja. Kalau boleh diberi elaun atau sumbangan dengan merujuk beberapa negara yang melakukannya (itu lebih baik),” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan anak kehilangan masa berharga bersama ibu bapa sekali gus memberi kesan terhadap perkembangan emosi mereka.
“Ibu bapa hantar (anak) ke pusat penjagaan, ambil jam 6 dan 7 malam, hanya dua tiga jam sahaja berada di rumah…tidur, pagi esok hantar balik ke tempat pengasuh.
“Isu besar anak kehilangan kasih sayang ibu bapa kerana masalah kita ialah kos, menyebabkan ibu terpaksa bekerja yang patut jaga anak…sampai bila situasi ini kita perlu teruskan?” soalnya.
Tuan Ibrahim berkata, anak yang kurang mendapat perhatian dan kasih sayang ibu bapa berisiko terlibat dalam masalah sosial seperti buli.
Mengulas lanjut mengenai pendidikan awal, beliau mencadangkan kementerian membentuk mekanisme bagi memperkukuh nilai kasih sayang dalam kalangan ibu bapa terhadap anak.
“Selain kita mengakui perlunya pengukuhan sistem penjagaan awal dari baru lahir hingga empat tahun kemudian masuk sekolah, jadi perlu penyelarasan dari sudut itu,” katanya.
Sebagai langkah jangka panjang, beliau turut mencadangkan kerajaan menubuhkan satu entiti tunggal bawah Akta Pendidikan Awal Kanak-kanak bagi menyelaras dan memantau aspek pendidikan awal secara menyeluruh.