‘Nasiblah kalau jadi buaya’ kata Presiden Brazil

‘Nasiblah kalau jadi buaya’ kata Presiden Brazil

Pemimpin tidak percayakan vaksin virus korona, walaupun dia sendiri sudah meluluskan inokulasi besar-besaran.

Bolsonaro dijangkiti virus korona pada Julai lalu. (Gambar AP)

Presiden Brazil Jair Bolsonaro menyelar vaksin virus korona malah menyindir apa dihasilkan Pfizer-BioNTech boleh mengubah seseorang menjadi buaya atau wanita berjanggut.

Pemimpin haluan kanan itu dari awal menyuarakan kesangsian terhadap virus korona sejak pertama kali muncul lewat tahun lalu malah menyifatkannya ‘sekadar selsema.’

Terbaharu, dia menegaskan tidak akan mengambil vaksin tersebut walaupun sudah meluluskan program inokulasi besar-besaran di negara itu.

“Kontrak Pfizer jelas mengatakan ‘kami tidak bertanggungjawab atas sebarang kesan sampingan.’ Jika kamu bertukar menjadi buaya, nasiblah,” katanya.

Vaksin itu diuji di Brazil sejak beberapa minggu lalu dan kini digunakan di Amerika Syarikat serta Britain.

“Kalau tiba-tiba kamu mendapat kuasa luar biasa, atau bertukar menjadi seorang wanita berjanggut, atau lelaki bersuara lembut, itu bukan masalah mereka,” katanya merujuk kepada pengeluar vaksin berkenaan.

Katanya, sebaik vaksin diluluskan agensi kawal selia Brazil, Anvisa, sesiapa yang mahu boleh mendapatkannya. Tetapi dia tidak akan divaksin.

“Ada yang berpendapat saya memberikan contoh buruk. Tapi untuk pengetahuan golongan bodoh yang berpendapat begitu, saya sudah pun terkena virus itu jadi buat apa divaksin lagi?” katanya yang dijangkiti virus berkenaan pada Julai sebelum sembuh dalam tempoh tiga minggu.

Ketika melancarkan kempen imunisasi pada Rabu minggu lalu, Bolsonaro menegaskan vaksin itu percuma tetapi tidak diwajibkan.

Bagaimana pun, sehari kemudian mahkamah agung negara itu memerintahkan vaksin berkenaan wajib diambil walaupun seseorang tidak boleh dipaksa mengambilnya.

Ini bererti pihak berkuasa boleh mendenda orang yang tidak divaksin dan melarang mereka berada di beberapa kawasan awam tertentu, namun tidak boleh memaksa mereka untuk mengambil suntikan.

Brazil yang kini berdepan dengan gelombang kedua jangkitan virus korona, merekodkan lebih 7.1 juta kes dan hampir 185,000 kematian akibat Covid-19 daripada 212 juta penduduknya.

Sejumlah kecil pesakit turut dijangkiti semula, namun tiada kepastian sejauh mana itu boleh berlaku atau berapa lama seseorang kekal lali terhadap penyakit itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.