KKM siap sedia hadapi lonjakan kes luar jangka influenza

KKM siap sedia hadapi lonjakan kes luar jangka influenza

Semua fasiliti dan petugas kesihatan sudah bersiap sedia sekiranya berlaku lonjakan kes.

sneezing flu selesema bersin
Majoriti kluster influenza dilaporkan di sekolah menengah, diikuti sekolah rendah, tadika dan sekolah swasta. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Semua fasiliti dan petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah bersiap sedia sekiranya berlaku lonjakan kes luar jangka melibatkan penularan influenza, kata Menteri Dzulkefly Ahmad.

Jabatan Kecemasan dan Trauma (A&E) di semua hospital KKM telah melaksanakan pengasingan laluan bagi pesakit penyakit berjangkit dan tidak berjangkit bagi mengelakkan penularan dalam kalangan pesakit, serta mencegah berlakunya jangkitan yang diperoleh di hospital.

KKM juga mengaktifkan Pelan Bencana Hospital, termasuk penubuhan zon bencana dengan menyediakan lebih banyak katil tambahan serta mobilisasi petugas secara dalaman sekiranya berlaku lonjakan kes luar jangka.

“Langkah ini adalah tindakan ‘pre-emptive’ dan proaktif, sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes secara mendadak. Namun, kita berharap situasi berkenaan tidak akan berlaku,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Sementara itu, pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Dzulkefly menjelaskan tiada vaksin khusus dan universal bagi influenza dibangunkan berikutan virus berkenaan mengalami proses mutasi dengan sangat kerap.

Beliau berkata setiap tahun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) akan menjalankan aktiviti pemantauan bagi menentukan strain dominan bagi tahun berkenaan dan vaksin baharu akan dibangunkan, lazimnya dalam bentuk vaksin kuadrivalen yang merangkumi beberapa jenis virus influenza sekali gus.

Bagi ujian pengesanan influenza, Dzulkelfy berkata KKM tidak menjalankan ujian makmal secara rutin bagi semua kes ‘Influenza-Like Illness’ (ILI) atau penyakit seakan influenza berikutan majoriti kes membabitkan gejala ringan dan boleh didiagnosis secara klinikal tanpa memerlukan pengesahan makmal.

“Diagnosis klinikal sudah memadai berdasarkan simptom atau tanda-tanda yang ditunjukkan pesakit, dan ujian makmal tidak akan mengubah bentuk rawatan yang diberikan. Justeru, diagnosis klinikal tidak memerlukan pengesahan makmal.

“Bagi pesakit yang berisiko tinggi, termasuk warga emas, kanak-kanak, wanita hamil, serta individu yang menunjukkan gejala lebih serius, rawatan akan diberikan sewajarnya serta profilaksis atau ubat antiviral,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung kemudahan ubat antivirus dan pelaksanaan pemberian vaksinasi bagi infuenza.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.