
Beliau berkata, daerah terbabit ialah Hulu Langat, Gombak, Klang, dan Petaling yang dikenal pasti mengalami penularan penyakit itu yang merisikokan kesihatan pelajar.
Amirudin berkata, ketetapan berkenaan diputuskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), yang turut memutuskan beberapa tindakan lain melibatkan kes bunuh pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya serta kejadian ribut melanda Telok Panglima Garang di Banting, dua hari lalu.
“Suntikan vaksin Influenza A secara percuma ini akan bermula pada minggu hadapan, dan pelaksanaannya akan diketuai oleh Exco Kesihatan Awam negeri Jamaliah Jamaluddin,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Ketua Polis Klang Utara S Vijaya Rao mengesahkan seorang murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Klang meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan Influenza A.
Selain murid berusia lapan tahun itu yang disahkan meninggal dunia kira-kira 4.30 pagi, seluruh ahli keluarganya turut disahkan positif wabak itu.
Berhubung kes pelajar perempuan maut ditikam, Amirudin berkata kejadian itu telah meninggalkan kesan trauma kepada pelajar lain di sekolah berkenaan, terutamanya mereka yang menyaksikan jenayah itu.
Beliau berkata, insiden terbabit telah menyebabkan kehadiran pelajar ke sekolah itu selepas kejadian telah menurun.
“Bagi mengembalikan keyakinan ibu bapa, guru, dan anak-anak terhadap tahap keselamatan di sekolah serta memulihkan kesan trauma, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan ibu bapa, guru, dan pelajar bagi memperingati pelajar yang kehilangan nyawa.
“Selain itu, beberapa langkah pantas turut diambil seperti pendaftaran keluar masuk pelajar di sekolah, penggunaan pengesan logam, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), sistem notifikasi pintar merangkumi ibu bapa dan guru sekolah,” katanya.
Amirudin berkata, proses itu akan melibatkan perbincangan bersama dengan ibu bapa, sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Kementerian Pendidikan, polis, serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan.
Beliau berkata, insiden ngeri sebegitu tidak boleh ada sebarang ruang untuk diulang sama sekali dan sekolah harus kembali menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi Selasa lalu, pelajar perempuan 16 tahun maut dipercayai ditikam seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dalam kawasan sekolah di Petaling Jaya.
Menurut Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar, punca kematian mangsa disebabkan jumlah tikaman yang banyak di bahagian dada dan leher menggunakan pisau.