
KKM berkata paracetamol yang lazim digunakan sebagai ubat tahan sakit dan demam masih dianggap antara pilihan yang paling selamat jika diambil dalam dos paling rendah dan untuk tempoh sesingkat mungkin.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menekankan walaupun banyak kajian dijalankan sejak lebih sedekad lalu, tiada bukti saintifik kukuh menunjukkan kaitan antara penggunaan paracetamol semasa hamil dengan autisme.
“WHO juga menasihatkan supaya semua wanita hamil sentiasa mendapatkan nasihat daripada doktor atau pegawai farmasi sebelum mengambil sebarang ubat,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu susulan laporan baru-baru ini mendakwa penggunaan Tylenol (paracetamol) semasa hamil serta pemberian vaksin boleh menyebabkan autisme pada kanak-kanak, selain dakwaan asid folinik boleh merawat autisme.
Meskipun KKM tidak menyebut pihak membuat dakwaan itu, Presiden AS Donald Trump baru-baru ini dilaporkan menasihatkan wanita hamil supaya mengelak daripada mengambil acetaminophen, yang dijual di AS sebagai Tylenol, serta menyarankan pengambilannya diminimumkan bagi mereka yang tidak mampu bertahan tanpa ubat.
Mengenai asid folinik, KKM menjelaskan bukti saintifik masih terhad kepada kajian kecil terhadap kumpulan tertentu.
“Kajian klinikal berskala besar masih diperlukan sebelum ubat ini boleh dianggap rawatan yang selamat dan berkesan untuk autisme. Buat masa ini, ubat ini tidak boleh dianggap sebagai rawatan standard,” kata kenyataan itu.
KKM turut mengulangi bahawa vaksin tidak menyebabkan autisme, sebaliknya punca sebenar masih belum difahami sepenuhnya, namun ia dipercayai berpunca daripada pelbagai faktor biologi, genetik, dan persekitaran yang kompleks.
Tambahnya, vaksin telah menyelamatkan sekurang-kurangnya 154 juta nyawa di seluruh dunia dalam tempoh lima dekad lalu, selain kini melindungi masyarakat global daripada lebih 30 jenis penyakit berjangkit.
KKM menasihati orang awam agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan tanpa disokong oleh bukti saintifik yang kukuh.
“KKM kekal komited memastikan setiap ubat yang digunakan di Malaysia adalah selamat, berkesan serta memperkukuh sistem pemantauan keselamatan vaksin di Malaysia selaras dengan bukti saintifik terkini.”