
Bak kata pepatah, tiada rotan akar pun berguna. Laluan penuh berliku yang ditempuh pemenang pingat emas acara angkat berat Olimpik Tokyo, Hidilyn Diaz sudah cukup membuat kita terinspirasi.
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasmi Buletin TV3, atlet dari Filipina berusia 30 tahun ini terpaksa ‘bertapa’ di Jasin Melaka selama hampir dua tahun, sebelum melakar sejarah apabila merangkul emas pertama buat negaranya di temasya Sukan Olimpik Tokyo.
Jelas perkongsian itu, persiapan Diaz ke Tokyo penuh berliku apabila terkandas di Jasin sejak Februari tahun lalu akibat Covid-19 dan terpaksa berlatih di tempat letak kereta rumah yang didiaminya.
Berasal dari Selatan Bandar Zamboanga, Diaz berjaya memenangi kategori 55 kilogram (kg) wanita dan mengecewakan pemegang rekod dunia dari China Liao Qiuyun yang sekadar memenangi pingat perak.
Dia turut berjaya melakukan angkatan peribadi terbaik 127 kg dalam acara ‘clean and jerk’.
Diaz yang berkhidmat dengan Tentera Udara Filipina itu tidak dapat menjalani latihan di Kuala Lumpur kerana gimnasium ditutup dan terpaksa berpindah ke Melaka.
Tidak mudah menyerah kalah, sekatan perjalanan itu dimanfaatkan sebaiknya dengan berlatih di sebuah garaj kereta milik bekas pegawai angkat berat Malaysia.
Pada awalnya Diaz berlatih di gimnasium berhampiran tetapi selepas larangan pergerakan diperketatkan Diaz terpaksa memindahkan peralatan latihan ke tempat letak kereta di rumah berkenaan.
“Bagus berada di kampung ini, ia membantu meningkatkan kesihatan mental saya. Terutamanya apabila anda melihat kehijauan seperti pokok dan suasana kampung di sini.
“Jadi kehidupan anda akan menjadi lebih normal. Bagi saya, saya berada di landasan yang betul dari segi mental dan fizikal untuk ke Tokyo 2020,” katanya.
Atlet angkat berat Filipina itu turut membawa pulang ganjaran RM2.7 juta dan sebuah rumah.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]