
Inisiatif diraja berteraskan gaya hidup sihat itu akan dipimpin sendiri oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bagi meraikan warisan sukan dan perpaduan negara.
Antara yang dijangka hadir termasuk legenda bola sepak Santokh Singh dan Soh Chin Aun, bekas pelari pecut G Shanti serta legenda badminton Rashid Sidek.
Turut serta bekas ratu terjun negara Leong Mun Yee, bekas kapten skuad hoki lelaki kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin serta bekas kapten ragbi kebangsaan dan pasukan Selangor era 1970-an dan 1980-an, Jagjit Singh.
Acara itu anjuran agensi terkemuka dalam perhubungan awam, ShekhinahPR dengan kerjasama Yayasan Al-Sultan Abdullah (Yasa) bertujuan menyatukan rakyat Malaysia dalam satu acara yang meraikan nilai kesihatan, komuniti dan semangat kebangsaan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Christopher Raj, berkata ia bukan hanya dapat meraikan warisan sukan negara dengan mengiktiraf jasa atlet yang telah membentuk sejarah Malaysia malah juga menggalakkan gaya hidup sihat serta memperkukuh hubungan antara institusi diraja bersama legenda sukan negara.
“Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports bukan sekadar acara, tetapi satu inisiatif yang meraikan perpaduan, kesihatan dan warisan melalui aktiviti yang paling sederhana.
“Ia dijangka menjadi satu acara yang memperingati sejarah negara, semangat kesukanan dan perpaduan nasional sekaligus mengingatkan kita bahawa langkah paling bermakna ialah langkah yang diambil bersama-sama,” katanya.
Acara itu turut disokong oleh Bata, FWHS Medik, Merdeka 118, DCS Entertainment, Etika, dan Prince Court Medical Centre, selaras dengan matlamat memupuk gaya hidup sihat, memperkukuh warisan serta menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.