
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Faiz Abdullah memberi amaran supaya kejayaan diplomasi Malaysia baru-baru tidak dibiarkan pudar.
Beliau berkata, sidang kemuncak tiga hala pertama antara Asean–Majlis Kerjasama Teluk (GCC)–China berpotensi mengubah kerjasama dan pembangunan serantau, jika kemajuannya dikekalkan.
“Gabungan kuasa dinamik sedang berlaku. Asean serta GCC sudah mantap, dan penyertaan China akan memberi lebih banyak kedalaman kerana kemajuan teknologi serta infrastruktur kewangannya melengkapi sumber kewangan GCC,” katanya dalam audio siar “Asean Moment” terbitan ISIS Malaysia.
Diplomat veteran, Ilango Karuppannan memberitahu FMT, Filipina perlu meneruskan kemajuan dicapai Malaysia dalam menangani isu Laut China Selatan dan Myanmar.
Bekas pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Singapura itu berkata isu berkenaan perlu ditangani dalam kerangka Asean tanpa campur tangan kuasa luar.
“Filipina mempunyai peranan besar. Ia tidak mudah, tetapi Malaysia dan negara lain sedia membantu,” katanya sambil menambah Malaysia akan terus menjadi penyelaras hubungan Asean-China sehingga 2027.
Mengenai Myanmar, beliau menekankan utusan khas Asean ke negara dilanda konflik itu perlu berkhidmat lebih setahun.
Di bawah sistem penggiliran pengerusi Asean, setiap pengerusi baharu akan melantik utusan khasnya sebagai pengantara antara pihak bertelagah di Myanmar dan menyelaras pelaksanaan rangka kerja damai lima perkara blok itu.
Ketika Malaysia menjadi pengerusi, Asean sudah meneliti idea melantik utusan tetap.
“Mungkin di bawah Filipina, kita boleh melantik utusan tetap – seseorang yang berkhidmat beberapa tahun dan menyediakan kesinambungan,” kata Ilango.
Faiz yang senada berkata, utusan tetap penting bagi mencapai kemajuan.
“Apabila keadaan mula stabil (selepas setahun), utusan itu diganti individu baharu.
“Kesinambungan isu utama. Menyelesaikan perkara itu perlu menjadi antara keutamaan Filipina.”
Realisasi potensi
Joanne Lin, felo kanan di Institut ISEAS-Yusof Ishak Singapura, bersetuju kepengerusian Malaysia dianggap ‘bercita-cita tinggi’ dan mencapai beberapa pencapaian penting.
Tetapi, beliau mendapati banyak inisiatif belum selesai dan memerlukan usaha berterusan pengerusi Asean seterusnya.
“Pasukan Petugas Geoekonomi Asean dan Strategi Perindustrian langkah penting, tetapi ia masih di peringkat konsep. Tindakan susulan lebih kukuh diperlukan melalui pelan tindakan sektoral, mekanisme pembiayaan dan pembabitan sektor swasta.”
Lin memberitahu FMT, Manila boleh mengukuhkan suara kolektif Asean berhubung isu ekonomi utama.
“Asean masih bergelut untuk menyampaikan pendirian bersama mengenai isu perdagangan dan teknologi baru muncul, khasnya respons terhadap tarif AS dan dasar perindustrian China semakin berkembang.
“Filipina boleh memanfaatkan peluang ini dengan mengemukakan pelan tindakan lebih praktikal – mungkin peta hala tuju semikonduktor Asean atau dana infrastruktur digital – untuk membawa rantau ini daripada tahap penyelarasan kepada pelaksanaan.”
Menurutnya, Manila juga boleh memainkan peranan politik lebih kukuh kerana diplomasi berhati-hati Asean memastikan perpaduan, tetapi sering melambatkan kemajuan.
Ruang penambahbaikan
Walaupun pakar memuji penggunaan kuasa lunak dan kepimpinan strategik Malaysia ketika berdepan geopolitik serta ekonomi mencabar, Faiz dan Lin menekankan ada aspek boleh ditangani dengan lebih baik.
Faiz kecewa dengan kurang kemajuan dalam menghidupkan semula Sidang Kemuncak Asia Timur, disifatkannya ‘institusi Jurassic’ yang berkembang menjadi ucapan berulang tanpa menghasilkan tindakan konkrit.
“Tiada keazaman sebenar atau agenda jelas untuk perkara tertentu dilaksanakan,” katanya sambil menambah ketiadaan pemimpin tertinggi dan saingan AS-China menyukarkan konsensus dicapai.
Lin berkata, pergolakan di Indonesia baru-baru ini, pertikaian sempadan Thailand-Kemboja dan respons perlahan Asean terhadap krisis Myanmar berisiko menjejaskan legitimasi blok itu di mata rakyat biasa.
“Ini menunjukkan betapa jauhnya Asean daripada mencapai aspirasinya sendiri, seperti digariskan dalam Wawasan Komuniti Asean 2045.”
Katanya, persepsi Asean lebih menekankan diplomasi berbanding kebajikan rakyat masih menjadi cabaran.
“Untuk memulihkan keyakinan, Asean perlu menjadikan agendanya berpusatkan rakyat lebih nyata dengan melabur dalam pertumbuhan inklusif, yang juga tema kepengerusian Malaysia.
“Ini juga bermaksud menutup jurang komunikasi supaya rakyat dapat melihat bagaimana kerjasama Asean secara langsung menyokong pekerjaan, pendidikan dan daya tahan komuniti. Akhirnya, itu yang paling penting buat rakyat Asean.”