AS gantung visa pelawat penduduk Gaza

AS gantung visa pelawat penduduk Gaza

Kempen ketenteraan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 meragut hampir 61,900 nyawa rakyat Palestin, memusnahkan wilayah itu dan mendorongnya ke ambang kebuluran.

Jabatan Negara AS berkata ia sedang melakukan semakan terhadap proses pengeluaran sejumlah kecil visa sementara atas tujuan perubatan dan kemanusiaan. (Gambar Facebook Jabatan Negara AS)
ISTANBUL:
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu menggantung semua visa pelawat untuk penduduk Semenanjung Gaza atas alasan sedang menjalankan semakan terhadap proses pengeluaran, lapor Anadolu Ajansi.

“Semua visa pelawat untuk individu dari Gaza dihentikan sementara kami menjalankan semakan penuh dan menyeluruh terhadap proses serta prosedur yang digunakan bagi mengeluarkan sejumlah kecil visa sementara atas tujuan perubatan dan kemanusiaan sejak beberapa hari lalu,” katanya dalam hantaran X.

Kempen ketenteraan Israel di Gaza sejak Oktober 2023 meragut hampir 61,900 nyawa rakyat Palestin, memusnahkan wilayah itu dan mendorongnya ke ambang kebuluran.

November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas menteri pertahanan, Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangan di wilayah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.