
Kini Setiausaha Agung Cinta Gaza Malaysia (CGM) Umm Salamah menceritakan detik yang tidak dapat dilupakan ketika beliau memberikan gula-gula dan wang tunai kepada sekumpulan kanak-kanak.
Seorang budak lelaki tidak lebih usia enam tahun menolak pemberian itu.
“Katanya dia tak perlukan benda tu. Jadi, saya tanya dia apa dia nak. Saya fikir dia mahukan mainan atau sesuatu yang kanak-kanak inginkan.
“Tetapi (budak itu) berkata, ‘Saya mahu doa anda. Tolong doakan saya dan warga Palestin’,” cerita Umm Salamah kepada FMT.
Ibu empat anak itu berkata, pertemuannya dengan kanak-kanak itu ‘membuka matanya’. Beliau berasa takjub dengan harapan tidak berbelah bahagi yang dipamerkan, dan keazaman penduduk Gaza melayan tetamu dengan penuh hormat, walaupun berdepan konflik berterusan yang mengancam nyawa.
“Mereka layan saya seperti tetamu … berkongsi roti dengan saya, dan mereka tidak benarkan saya bayar,” katanya.
“Pada mulanya, saya tak sampai hati, tetapi saya tetap ambil sebagai tanda hormat terhadap kebaikan mereka. Mereka tahu, mereka tiada banyak (harta), tetapi masih mahu memberi, dalam apa cara sekalipun.”

Terinspirasi oleh lawatannya ke Gaza, Umm Salamah berganding tenaga dengan Nadir Al-Nuri pada 2014 untuk menubuhkan Cinta Gaza Malaysia (CGM), sebuah organisasi berdedikasi menyalurkan bantuan kemanusiaan kecemasan dan berterusan kepada warga Palestin.
Sejak penubuhannya, perkhidmatan CGM telah meluas ke Syria dan Tebing Barat, disokong oleh lebih 1,000 sukarelawan dari Timur Tengah dan Malaysia.

Eksekutif strategik CGM Aida Munirah Nor Azli berkata, beliau mengagumi rasa hormat yang tinggi penduduk Gaza terhadap Ramadan, apabila ‘perbuatan baik dilakukan berlipat kali ganda’.
“(Gaza) sangat berdebu, tidak bersih, tetapi itu tidak halang (penduduknya) menyambut Ramadan dengan gembira dan bersemangat,” katanya.
“Perasaan saya tersentuh kerana mereka tetap mahu sambut Ramadan walaupun berada dalam kesusahan yang melampau, dan walaupun mereka tahu mereka mungkin tidak lagi ada untuk menyambut Aidilfitri.
“Itulah yang benar-benar menyentuh hati saya,” katanya menambah, ramai rakyat Malaysia sering menganggap bulan itu hanya sebagai masa untuk berpuasa.
Umm Salamah berkata, penduduk Gaza menjadi contoh kepada dunia tentang ketabahan menghadapi kesukaran yang berterusan. Beliau turut menggesa rakyat Malaysia agar tidak mengambil mudah keamanan yang kita nikmati.
“Kita harus hargai keamanan di negara kita, tetapi pada masa sama, lihat betapa tabah dan kuatnya (penduduk Gaza),” katanya.
“Kita perlu ingat, bukan semua orang berpeluang tinggal di negara yang aman. Bukan semua orang berpeluang berkumpul bersama keluarga pada Hari Raya,” katanya.

Sementara itu, pengurus projek CGM Amirul Syafik Radzuan berharap semua rakyat Malaysia akan mengingati rakyat Gaza.
“Sambut Hari Raya sebaiknya bersama rakan dan keluarga, tetapi pada masa sama, jangan lupa saudara-saudara kita di Gaza,” katanya.
Pada 24 Mac, Reuters melaporkan, Israel membunuh hampir 700 rakyat Palestin sejak ia meneruskan serangan ke atas Gaza pada 18 Mac, mengakhiri minggu yang agak tenang selepas gencatan senjata pada Januari. Mangsa yang terkorban termasuk sekurang-kurangnya 400 wanita dan kanak-kanak.
‘Saya rindu sambut Aidilfitri bersama keluarga’
Shadi Salem tiba di Malaysia sejurus selepas konflik di Gaza meletus pada September 2023. Beliau berkata, Aidilfitri merupakan masa yang sukar baginya, apabila anak isterinya masih berada di Gaza.
“Ini Aidilfitri ketiga saya sambut di sini (Malaysia), jauh daripada keluarga, tetapi keperitan dan kerinduan (terhadap mereka) semakin lama semakin kuat,” kata bapa dua anak itu.
Lelaki berusia 32 tahun itu berkata, walaupun Aidilfitri mengingatkannya kepada insan tersayang yang telah tiada, hatinya dihiburkan dengan suasana penuh semangat di Lembah Klang menjelang perayaan itu.
“Semua orang berkongsi kegembiraan, masjid penuh, dan semua orang beraya bersama keluarga dan insan tersayang.
“Saya sedar betapa indahnya Ramadan dan Aidilfitri apabila wujudnya keamanan dan kestabilan,” katanya.
Shadi berkata, beliau rindu menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama keluarganya lagi. Warga Palestin tidak boleh berputus asa, katanya menambah, keadilan pasti akan ditegakkan.
“Apa yang boleh saya lakukan sekarang adalah berdoa agar Allah lindungi keluarga saya, kembalikan saya kepada mereka tidak lama lagi, dan agar kami sekali lagi dapat beraya bersama dalam keadaan aman dan selamat,” katanya.