
Kali terakhir Malaysia di Tahap 2 laporan TIP ialah 2017, kedudukan tertinggi pernah dicapai negara.
Tahap 2 ditakrifkan sebagai tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum AS dalam menghapuskan pemerdagangan manusia, tetapi ada usaha signifikan untuk mematuhinya.
Tahun lalu, Malaysia dinaikkan ke Tahap 2 Pemerhatian laporan TIP, selepas diturunkan ke Tahap 3 pada 2021 dan 2022. Penurunan tahap itu membawa risiko terhadap eksport negara berpotensi disekat.
Laporan TIP ialah penilaian tahunan yang menilai trend pemerdagangan global, memfokuskan usaha kerajaan dalam pendakwaan, perlindungan dan pencegahan. Ia merangkumi empat kategori iaitu Tahap 1, Tahap 2, Tahap 2 Pemerhatian dan Tahap 3.
Peningkatan tahap itu bermakna Malaysia ditempatkan dalam kalangan negara seperti Bangladesh, Mesir, Indonesia, India, Jepun, Itali, Kenya, Mexico, New Zealand, Norway, Portugal, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam.
Laporan 2024 itu dirasmikan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken di Washington.
Nasib pekerja Bangladesh, yang kini buruh asing teramai di Malaysia, menjadi tumpuan awal tahun ini.
Tiga pertubuhan antarabangsa menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan sebahagian pekerja itu ditipu ke Malaysia atas janji pekerjaan tidak wujud.
Pertubuhan Migrasi Antarabangsa, Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah berkata, mereka sedia menyokong usaha untuk memenuhi keperluan segera buruh asing terkandas.
Sementara itu, aktivis hak asasi migran, Andy Hall terkejut dengan peningkatan kedudukan Malaysia dalam laporan TIP kerana bertahun-tahun gagal melibatkan Putrajaya dalam kes dakwaan pemerdagangan manusia dan buruh paksa.
Katanya, kedudukan Malaysia tidak patut dinaikkan atas ketidakupayaan sistemiknya untuk memerangi pemerdagangan buruh secara bermakna, memastikan pemulihan mangsa dan akauntabiliti pelaku.