Malaysia kutuk keras serangan Israel di ‘zon selamat’ al-Mawasi

Malaysia kutuk keras serangan Israel di ‘zon selamat’ al-Mawasi

Serangan 'keji dan tidak berperikemanusiaan' itu menunjukkan pengabaian dan tindakan tidak menghormati nyawa manusia, menurut Wisma Putra.

Terdahulu dilaporkan, lebih 70 orang terkorban manakala kira-kira 289 lagi cedera dalam serangan rejim Israel menyasarkan kem al-Mawasi, yang ditetapkan sebagai zon selamat bagi penduduk Gaza.(Gambar AP /Abdel Kareem Hana)
PETALING JAYA:
Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Israel di kem pelarian al-Mawasi pada 13 Julai, yang meragut banyak nyawa tidak berdosa, termasuk wanita dan kanak-kanak, selain mencederakan ratusan lain.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, serangan keji dan tidak berperikemanusiaan yang berlaku di kawasan Rafah itu, ditetapkan oleh Israel sebagai zon selamat untuk rakyat Palestin, menunjukkan pengabaian dan tindakan tidak menghormati nyawa manusia.

“Ia juga bercanggah dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang antarabangsa,” katanya, lapor Bernama.

“Malaysia kekal dengan sokongan teguh terhadap rakyat Palestin dan menolak sekeras-kerasnya keganasan dan kekejaman yang berterusan yang dilakukan oleh rejim Israel.”

Wisma Putra menegaskan, keganasan berterusan itu jelas melanggar Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2735 (2024) yang menyeru agar peperangan dihentikan segera, penduduk awam dilindungi dan akses bantuan kemanusiaan diberikan tanpa halangan di Gaza.

Sehubungan itu, ia menggesa masyarakat antarabangsa agar bertindak segera dan tegas bagi mengakhiri keganasan Israel dan menuntut pemimpin Israel bertanggungjawab ke atas jenayah tidak berperikemanusiaan itu.

Terdahulu dilaporkan lebih 70 orang terkorban manakala kira-kira 289 lagi cedera dalam serangan yang menyasarkan ‘bandar khemah’ al-Mawasi, tempat perlindungan puluhan ribu penduduk Gaza yang hilang tempat tinggal sejak beberapa bulan lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.