
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce, berkata Rubio sudah menghubungi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn bagi menekankan kepentingan gencatan senjata serta-merta.
“Setiausaha Rubio mengulangi hasrat Presiden (Donald) Trump melihat keamanan tercapai serta kepentingan gencatan senjata segera.
“AS bersedia memudah cara perbincangan pada masa depan bagi menjamin keamanan dan kestabilan antara Thailand dan Kemboja,” kata Bruce dalam kenyataan di laman rasmi jabatan itu.
Bruce berkata, Rubio turut menyampaikan mesej sama kepada Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa, sambil menegaskan kesediaan Washington membantu memudahkan dialog dan usaha damai antara kedua-dua negara.
Dalam perkembangan terbaharu, Bernama melaporkan Kerajaan Thailand mengesahkan akan menghadiri rundingan damai serantau di Malaysia hari ii bagi membincangkan konflik sempadan semakin meruncing dengan Kemboja.
Jurucakap Kerajaan Thailand, Jirayu Huangsap, berkata Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, selaku pengerusi Asean ketika ini mempelawa kepimpinan Thailand bagi membincangkan konflik Thailand-Kemboja.
Delegasi Thailand dijadualkan berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Thailand kira-kira 10.30 pagi, manakala mesyuarat dijadualkan berlangsung pada 3 petang (waktu Malaysia).
Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara memuncak 25 Julai lalu, mencetuskan pertempuran bersenjata di kawasan sempadan utara Kemboja.
Pertempuran terbaharu itu dilaporkan mengorbankan lebih 20 nyawa di pihak Thailand.
Pada masa sama, pihak berkuasa Kemboja memaklumkan lima anggota tentera dan lapan orang awam terbunuh, manakala ribuan penduduk dipindahkan di kedua-dua belah sempadan.
Ketegangan antara Thailand dan Kemboja meningkat sejak 28 Mei lepas susulan insiden konfrontasi antara anggota tentera dekat kawasan sempadan Preah Vihear dipertikaikan, mengakibatkan kematian seorang tentera Kemboja.
Kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu telah lama tidak bersependapat mengenai jajaran sepanjang 817km sempadan belum dimuktamadkan, yang terus menjadi punca ketegangan dan tekanan diplomatik.