
Menurut laporan yang dikeluarkan hari ini, kerajaan tidak sepenuhnya memenuhi piawaian minimum untuk penghapusan pemerdagangan dan tidak melakukan usaha yang ketara untuk berbuat demikian, walaupun dengan diambil kira kesan wabak Covid-19 terhadap kapasiti anti-pemerdagangan negara.
“Oleh itu, Malaysia kekal pada ‘Tier 3’,” menurut laporan itu.
Malaysia diletakkan dalam Senarai Pantau Tahap 2 dari 2018 hingga 2020 sebelum turun ke Tahap 3, peringkat terendah, tahun lepas.
Tambah laporan itu, kerajaan terus menggabungkan jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan pendatang, yang menghalang penguatkuasaan undang-undang dan usaha mengenal pasti mangsa.
“Siasatan anti-pemerdagangan merosot, dan kerajaan tidak mendakwa atau mensabitkan pegawai kerajaan yang didakwa terlibat dalam jenayah pemerdagangan,” menurut laporan itu.
Laporan itu juga mengatakan bahawa seperti tahun-tahun sebelumnya, kerajaan tidak menangani secukupnya atau menyiasat dari segi jenayah dakwaan yang diyakini daripada pelbagai sumber mengenai pemerdagangan buruh dalam industri pengeluaran getah dan minyak sawit.
Tambahan, katanya, sistem keadilan jenayah Malaysia terus mengalami kekangan sumber dan “penerapan kemahiran asas penyiasatan dan pendakwaan tidak sekata”, yang ada kalanya menghalang pihak berkuasa kehakiman daripada meneruskan kes pemerdagangan.
Antara saranan laporan itu termasuk meningkatkan dengan ketara siasatan, pendakwaan dan sabitan untuk semua bentuk pemerdagangan, termasuk terhadap pegawai yang bersubahat dalam jenayah berkaitan pemerdagangan, sambil mematuhi proses wajar.
Laporan itu menggesa agar latihan anti-pemerdagangan dipertingkatkan bagi pegawai barisan hadapan, sambil menambah bahawa latihan sedemikian juga perlu diadakan bagi pegawai Imigresen dan pemeriksa buruh untuk mengenal pasti dan merujuk kes pemerdagangan yang disyaki kepada polis.
Selain daripada mencadangkan bahawa perlu ada peningkatan yang ketara dalam pengawasan majikan dan agensi pengambilan buruh, laporan itu juga mengatakan penunjuk pemerdagangan – seperti tidak membayar gaji dan penahanan pasport – harus dirujuk kepada polis untuk siasatan jenayah.
Jabatan Negara AS meletakkan setiap negara dalam salah satu daripada tiga tahap berdasarkan usaha kerajaannya membanteras pemerdagangan dan saiz masalah itu.
Kedudukan Tahap 1 menunjukkan bahawa kerajaan mengakui kewujudan pemerdagangan manusia dan berusaha untuk menanganinya.
Negara Tahap 2 tidak mematuhi sepenuhnya piawaian minimum Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan dan Keganasan AS tetapi sedang melakukan usaha yang hebat untuk mematuhi piawaian tersebut.
Negara Tahap 3 pula tidak mematuhi piawaian minimum sepenuhnya dan tidak melakukan usaha yang ketara untuk berbuat demikian.