Polis New York didakwa jadi perisik China

Polis New York didakwa jadi perisik China

Pendakwa raya berkata, Baimadajie Angwang menjadi ejen Beijing sekurang-kurangnya sejak 2014.

Baimadajie Angwang didakwa memberitahu pengendalinya dalam kerajaan China, dia mahu dinaikkan pangkat dalam NYPD supaya dia boleh membantu Beijing dan membawa ‘kegemilangan kepada China’.
NEW YORK:
Seorang pegawai polis di Bandar New York yang juga anggota simpanan tentera Amerika Syarikat didakwa menjadi ejen risikan kerajaan China, kata pendakwa raya persekutuan pada Isnin.

Baimadajie Angwang, 33, yang ditahan di rumahnya di Long Island pada awal Isnin, akan didakwa di mahkamah di Brooklyn kemudian, kata Jabatan Kehakiman AS ketika mengumumkan pendakwaan itu.

“Ini definisi ancaman dalaman – seperti yang didakwa, Angwang bekerja bagi pihak sebuah kerajaan asing; berbohong untuk mendapat pelepasan dan menggunakan jawatannya sebagai pegawai polis NYPD (Jabatan Polis New York) untuk membantu cubaan subversif dan haram China bagi merekrut sumber risikan,” kata William Sweeny, penolong pengarah pejabat lapangan FBI di New York, dalam satu kenyataan.

Pendakwa raya berkata, Angwang yang lahir di China dan menjadi warganegara AS melalui penaturalisasian, menjadi ejen Beijing sekurang-kurangnya sejak 2014.

Dia juga didakwa memberi kenyataan palsu dan penipuan kewangan membabitkan penggunaan telekomunikasi atau teknologi maklumat.

Menurut dokumen mahkamah, Angwang didakwa melaporkan kepada pegawai konsulat China aktiviti warga China di Bandar New York dan menilai sumber risikan berpotensi dalam komuniti Tibet tempatan.

Menurut aduan jenayah, Angwang memberitahu pengendalinya dalam kerajaan China, dia mahu dinaikkan pangkat dalam NYPD supaya dia boleh membantu Beijing dan membawa “kegemilangan kepada China”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.