
Data penerbangan yang diambil daripada telefon seorang daripada suspek menunjukkan dron itu terbang dari Kranji ke Johor Bahru dan kembali semula ke Kranji, menurut pihak berkuasa dalam kenyataan bersama di sini hari ini.
Kenyataan itu menyebut pada 17 Jun kira-kira 5.45 petang, polis mengesan aktiviti luar biasa dron di sekitar Taman Takungan Air Kranji dan menemukan pesawat tanpa pemandu tersebut dengan sebuah beg terpasang padanya, sedang berlegar di udara.
Polis kemudian menahan kedua-dua lelaki, masing-masing berusia 29 dan 34 tahun, yang dipercayai pengendali dron itu.
Pemeriksaan pegawai CNB ke atas sebuah kereta milik suspek membawa kepada penemuan pelbagai jenis ubat terkawal.
Operasi susulan CNB pada hari berikutnya menyaksikan seorang wanita berusia 24 tahun dan seorang lelaki berusia 40 tahun, kedua-duanya rakyat Singapura, ditahan berhubung kes itu.
“Siasatan berhubung kes itu sedang berjalan,” kata pihak berkuasa.
Menurut pihak berkuasa, kedua-dua suspek lelaki didakwa semalam atas pertuduhan mengedar ubat terkawal Kelas A.
Sejumlah 389 gram dadah jenis syabu, 8 gram heroin, 195 pil ekstasi dan 2 pil Erimin-5 yang dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya S$44,000 dirampas.