Flotilla Sumud Global diganggu dron lagi

Flotilla Sumud Global diganggu dron lagi

Flotilla Sumud Global menyifatkan insiden itu 'operasi psikologi' untuk menakutkan peserta.

Flotila Sumud Global terdiri daripada lebih 50 kapal membawa peserta dari pelbagai negara termasuk doktor, wartawan dan aktivis bagi mencabar sekatan Israel serta menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza. (Gambar EPA Images)
ISTANBUL:
Flotilla Sumud Global pada Selasa melaporkan kapal-kapalnya berdepan gangguan berulang di laut termasuk letupan, dron tidak dikenali serta gangguan komunikasi ketika konvoi kemanusiaan itu menuju Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

“Kami percaya dron ini bertujuan menakutkan, selain berkemungkinan mengumpul maklumat risikan untuk Israel,” kata kumpulan itu dalam hantaran di Instagram.

Flotilla itu kemudian menyifatkan insiden itu “operasi psikologi” untuk menakutkan peserta.

“Langkah yang diambil Israel dan sekutunya untuk melanjutkan kebuluran mengerikan serta genosid di Gaza amat menjijikkan.

“Tetapi, keteguhan kami lebih kuat daripada sebelumnya. Taktik ini tidak akan menghalang misi kami menghantar bantuan ke Gaza dan memecahkan sekatan haram,” kata kumpulan itu menerusi media sosial.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Francesca Albanese, menggesa tindakan segera dan memberi amaran menerusi X bahawa flotila itu “diserang tujuh kali dalam masa singkat”, termasuk bom bunyi, suar letupan, semburan kimia disyaki dan panggilan kecemasan disekat.

“Perhatian dan perlindungan antarabangsa segera diperlukan!”

Aktivis, Yasemin Acar turut memuat naik video di X dengan berkata: “Serangan kesembilan. Kami diserang di perairan antarabangsa.”

Dalam mesej berasingan dari kapal Alma di Instagram, beliau melaporkan “15 hingga 16 dron besar” berlegar di udara serta radio disekat.

Flotila Sumud Global, yang dinamakan daripada perkataan Arab bermaksud “keteguhan”, terdiri daripada lebih 50 kapal membawa peserta dari pelbagai negara termasuk doktor, wartawan dan aktivis.

Inisiatif itu bagi mencabar sekatan Israel serta menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Pihak berkuasa Israel belum mengulas laporan terkini, walaupun flotila bantuan sebelum ini sering dipintas.

Serangan tentera Israel meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin di Gaza. Kempen itu memusnahkan wilayah berkenaan yang kini berdepan kebuluran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.