
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Hussein Omar Khan berkata, rampasan besar itu dilakukan menerusi Op Black Ash yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSJN serta Jabatan Siasatan Jenayah IPK Selangor pada 19 Ogos.
Menerusi operasi itu, katanya, polis menahan dua lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 31 tahun.
“Fentanyl seberat 961.8kg dengan nilai pasaran RM30.7 juta ini ialah cubaan pertama yang berjaya dipatahkan di Malaysia,” katanya pada sidang media di IPK Selangor hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, sindiket itu menggunakan modus operandi penghantaran kargo melalui Pelabuhan Klang dengan membuat deklarasi palsu sebelum dadah itu dipecahkan kepada dua konsainan untuk dihantar kepada kumpulan berbeza.
“Siasatan mendapati fentanyl ini diproses dalam bentuk cecair dan serbuk sebelum dijual dalam pasaran,” katanya.
“Serbuk daripada dadah ini dijadikan pil manakala cecair pula digunakan sebagai campuran untuk rokok elektronik (vape).”
Menurutnya, dadah sintetik yang lebih 100 kali ganda kuat berbanding morfin dan heroin itu dipercayai dibawa masuk untuk pasaran negara jiran serta tempatan.
Hussein berkata, selain Op Black Ash, pihaknya turut melaksanakan lima lagi operasi khas sepanjang Ogos hingga September.
“Menerusi Op Black Wood pada 23 Ogos di Selangor, polis menahan tiga lelaki tempatan dan dua wanita warga asing, selain merampas pelbagai jenis dadah seberat 75.09kg bernilai RM2.7 juta.
“Sementara itu, Op Ceylon pada 7 Sept di Lembah Klang dan Muar, Johor, pula membawa kepada penahanan tujuh individu serta rampasan 132.862kg dadah bernilai RM3.3 juta,” katanya.
Selain itu, katanya, pada 9 Sept, tiga lelaki tempatan ditahan bersama 202.59kg methamphetamine bernilai RM6.76 juta menerusi Op Blackbutt di Selangor.
“Sehari kemudian, Op Black Birch di Sungai Besi, Kuala Lumpur, berjaya menahan dua lelaki tempatan dan merampas 103.33kg methamphetamine bernilai RM3.32 juta,” katanya.
“Dalam Op Cengal pada 12 Sept di Lembah Klang, polis menahan tiga lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan dengan rampasan 230.67kg methamphetamine bernilai RM7.4 juta.”
Hussein berkata, secara keseluruhan, 24 individu berusia antara 19 hingga 55 tahun ditahan menerusi enam operasi khas itu, terdiri daripada 17 lelaki tempatan, dua lelaki warga asing, empat wanita warga asing dan seorang wanita tempatan.
Jumlah rampasan keseluruhan adalah 1,706.35kg pelbagai jenis dadah dengan nilai pasaran dianggarkan RM54.18 juta, tambahnya.
Menurutnya, ada antara sindiket-sindiket ini baru aktif beroperasi dua bulan, manakala yang lain hampir 10 bulan.
Hussein berkata, kejayaan operasi-operasi ini hasil risikan berbulan-bulan, termasuk kerjasama dengan agensi luar negara.
“Kejayaan operasi ini membongkar rangkaian penyeludupan dan pengedaran hasil kerjasama antarabangsa serta maklumat daripada orang awam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah agar menyalurkannya melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222.