
Muhammad Afiq Mohd Paimin, 27, yang bekerja di bahagian penyelenggaraan sebuah syarikat swasta berkata, kontrak perkhidmatannya ditamatkan pada 18 Mac lalu, lebih awal dari 30 April yang ditetapkan dalam perjanjian pekerjaannya.
“Saya sudah 2 tahun bekerja di bahagian penyelenggaraan, memang sepatutnya kontrak tamat tahun ini, iaitu Mei depan, tetapi sejak Mac lagi sudah ditamatkan kontrak dan memang sah tidak akan disambung perkhidmatan. Saya juga faham situasi syarikat,” katanya kepada FMT.
Walaupun pasrah dengan keputusan majikan, hidup masih perlu diteruskan dan Afiq terpaksa mencari rezeki untuk menyara keluarganya.
“Tidak dinafikan memang saya dan isteri buntu memandangkan anak pertama saya masih berusia 8 bulan dan sekiranya saya membuat permohonan kerja, apakah akan ada syarikat yang akan mengambil pekerja ketika tempoh PKP ini?
“Selepas tidak ada sumber pendapatan lagi, saya dan adik mencari idea untuk melakukan perniagaan berasaskan kek dengan harga mampu milik dan sedap dimakan setiap lapisan umur masyarakat.
“Saya tidak belajar secara khusus untuk buat kek, semuanya hanya menerusi resipi.”
Dengan bantuan adiknya – penuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam yang tidak dapat meneruskan pembelajaran di kampus akibat pelaksanaan PKP – Afiq membuat kek di kilang kecil milik ibunya yang menghasilkan kuih tradisi seperti kuih baulu dan terletak bersebelahan rumahnya di Meru, Klang.
“Ketika ini, siapa sangka hasil pendapatan dengan menjual kek ini lebih banyak berbanding sewaktu bertugas sebagai penyelenggara. Dalam tempoh satu bulan ini, memang perubahan menyeluruh berlaku dalam hidup saya.
“Saya tidak menjangkakan akan menerima sambutan sangat menggalakkan sehinggakan saya sendiri tidak sempat menjawab panggilan telefon.
“Kami menjual 6 jenis kek dan Alhamdulillah ketika PKP, setiap satu jenis kek terjual 20 biji. Jadi, dalam sehari kami menerima tempahan sebanyak 120 biji kek. Memang bersyukur sangat dengan rezeki ini,” katanya yang bercadang membuka kedai kek selepas tamat PKP.