
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, turut mengkritik pengerusi PN kerana menganggap tempoh pentadbiran 17 bulan beliau sebagai satu kejayaan, sebaliknya Muhyiddin disifatkan perdana menteri yang gagal.
Beliau merujuk perintah kawalan pergerakan (PKP) ‘separa masak’ dilaksanakan ketika pentadbirannya, dan laporan Indeks Pengendalian Covid-19 dikeluarkan Bloomberg meletakkan negara di tempat ketiga paling corot antara 53 negara ekonomi utama.
“Kemuncak gagalnya Muhyiddin ialah wujud gerakan bendera putih di merata tempat. Apakah Muhyiddin ada masalah ingatan?” katanya di Facebook.
Semalam, Muhyiddin berkata hasrat menjadi ‘kerajaan menanti’ di Putrajaya bukan sekadar omong kosong, mengambil kira kemampuan gabungan itu menempuh pandemik Covid-19.
Beliau berkata, walaupun tiada rujukan menguruskan wabak berkenaan, kerajaan gabungan itu berjaya mentadbir dengan baik, lalu keluar daripada pandemik.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga berkata, rakyat masih mengucapkan terima kasih kepadanya sehingga hari ini atas inisiatif diperkenalkan kerajaannya, termasuk moratorium pembayaran pinjaman dan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Kempen bendera putih adalah gerakan rakyat yang bermula di media sosial oleh mereka yang memerlukan makanan dan barangan keperluan lain ketika pandemik Covid-19 melanda pada 2021.
Kempen itu muncul ketika ramai yang bergelut untuk mendapatkan makanan berikutan pelaksanaan PKP ‘separa masak’ menyebabkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan.
Pentadbiran Muhyiddin menerima kritikan hebat daripada warganet dan Ahli Parlimen pembangkang, yang menyalahkan kerajaan kerana gagal menjaga kebajikan rakyat semasa PKP yang berpanjangan, sehingga memaksa mereka mengibarkan bendera putih.
Mengenai KWSP, Puad berkata ia adalah idea bekas perdana menteri Najib Razak dan juga syarat sokongan BN terhadap Muhyiddin, yang bersama dalam kerajaan.
“Muhyiddin bangga pada moratorium pinjaman dan pengeluaran khas KWSP sedangkan itu idea Najib dan jadi syarat sokongan BN kepadanya,” katanya.