
Turut terkesan Raziman Sarbini, 33, yang ketika itu berada di kemuncak dan menempa nama sebagai penggubah tari serta penari berbakat di persada antarabangsa.
Dia terpaksa meninggalkan minatnya untuk melakukan persembahan, dan pandemik menyebabkannya kembali ke tanah air untuk menyumbang idea serta tenaga sebagai pendidik dalam bidang tarian.
Namun, dia akur dengan takdir dan tetap berpuas hati apabila masih berpeluang berada di pentas sebagai tenaga pengajar.

Bagaimanapun, alumni New York University (NYU) itu yang mula mengajar di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) pada 2020 mengakui, tugas mendidik bukan perkara mudah.
“Jadi pendidik bukan senang. Saya tiada jiwa sebagai pendidik sebab sentiasa mahu membuat persembahan seni,” katanya kepada FMT.
Beliau juga hampir berputus asa untuk mengajar terutama apabila kaedah pengajarannya begitu terhad ketika negara melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP).
“Waktu itu sangat mencabar kerana saya hanya boleh mengajar secara dalam talian. Subjek tarian ini berbeza dengan subjek lain. Ia memerlukan sentuhan untuk seseorang pelajar itu memahaminya,” katanya.
Mengenai latar belakangnya, Raziman bukan sekadar penari biasa tetapi kaya dengan pengalaman dan sering diberi kepercayaan membuat persembahan di pentas besar, antaranya Jepun, Korea, Switzerland, Itali, Amerika Syarikat (AS) serta Australia.
Ketika zaman kegemilangannya berada di New York sekitar 2017 hingga 2019, dia berjaya mencuri tumpuan Akram Khan, legenda tari kontemporari berpengaruh dunia.
Dia turut menyertai Akram bersama menjayakan muzikal kung-fu: Dragon Spring Phoenix Rise (2019) arahan Chen Shi-Zheng dan turut ditawarkan mengendalikan projek Father: Vision of Floating World (2020) yang dokumentari belakang tabirnya, Move disiarkan di Netflix.
Raziman berkata, biarpun situasinya berbeza, kerjaya pendidik tetap memberikan kepuasan kepadanya terutama apabila melihat pelajarnya berjaya.
“Ketika Covid-19 itulah paling mencabar namun saya gembira apabila mereka dapat buat yang terbaik dalam projek akhir. Bukan itu sahaja, malah ada diterima bekerja di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), artis budaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Saya begitu teruja dan berpuas hati.
“Walaupun pada mulanya agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan kerjaya ini, saya merasakan diri menemui ‘cinta baharu’ apabila melihat anak didik berjaya,” katanya yang kini pengarah program ijazah sarjana muda seni persembahan di Taylor’s University.