Caruman KWSP pekerja asing: Cadangan kadar 2% kekal sehingga kajian lanjut

Caruman KWSP pekerja asing: Cadangan kadar 2% kekal sehingga kajian lanjut

Pelaksanaan caruman mandatori akan diperincikan Jemaah Menteri sebelum RUU bagi meminda Akta KWSP dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.

Steven sim
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata kadar 2% akan kekal sehingga kajian lanjut dijalankan pada masa depan.
PUTRAJAYA:
Kerajaan akan mengekalkan cadangan kadar caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing, masing-masing 2% buat pekerja dan majikan.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata kadar tersebut akan dikekalkan sehingga kajian lanjut yang mengambil kira kesesuaian semasa dijalankan, pada masa depan.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai pelaksanaan caruman mandatori tersebut akan diperincikan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum satu rang undang-undang bagi meminda Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.

“Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan keadilan dalam pasaran buruh dengan memastikan perlindungan sosial bagi semua pekerja, selaras dengan piawaian antarabangsa seperti ketetapan Artikel 68 Konvensyen 102, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), iaitu hak sama rata perlindungan sosial kepada individu bukan warganegara,” menurut kenyataan.

Semasa pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan cadangan untuk mewajibkan semua pekerja bukan warganegara mencarum kepada KWSP bagi memastikan layanan yang adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan.

Susulan itu, Kementerian Kewangan mencadangkan kadar caruman KWSP diseragamkan untuk rakyat Malaysia dan warga asing dengan kontrak pekerjaan baharu. Ini bermakna pekerja akan menyumbang 11% manakala majikan menyumbang 12%-13%.

MoF turut mencadangkan kadar caruman untuk pekerja asing dan majikan dengan kontrak sedia ada dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 2% dan meningkat secara berperingkat dalam tempoh enam tahun sehingga ia mencapai kadar caruman KWSP yang dikenakan kepada semua pekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.