Pekerja kontrak mengaku tak salah ‘lalok’ pandu kereta sebabkan kematian

Pekerja kontrak mengaku tak salah ‘lalok’ pandu kereta sebabkan kematian

Tertuduh didakwa memandu bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian Muhammad Nurhaffiz Idris, 31, di KM32.5 Jalan Kluang-Batu Pahat 11 Nov lalu.

Gavel
Mahkamah Majistret Yong Peng membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500. (Gambar Pexelpic)
PETALING JAYA:
Seorang pekerja kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Yong Peng atas pertuduhan memandu bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian penunggang motosikal di Ayer Hitam Khamis lalu.

Harian Metro melaporkan Mohamad Afiq Ikmal, 25, mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di depan Majistret Suhaila Shafi’uddin.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa memandu bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian Muhammad Nurhaffiz Idris, 31, dalam kemalangan di KM32.5 Jalan Kluang-Batu Pahat pada 10.20 malam 11 Nov lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun atau denda RM100,000.

Tertuduh juga boleh hilang kelayakan lesen memandu atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang tujuh tahun dari tarikh sabitan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dan menetapkan 10 Dis ini untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

Menurut laporan, siasatan mendapati tertuduh yang pulang dari pasar raya membuat pusingan U untuk patah balik ke rumah, tetapi motosikal ditunggang mangsa dalam arah sama gagal mengelak lalu bertembung kereta dipandu tertuduh.

Mangsa yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Singapura ke rumahnya di Taman Bukit Mutiara, Ayer Hitam meninggal dunia di lokasi nahas, manakala tertuduh dan seorang lagi penumpang dihantar ke hospital untuk rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.