Mahkamah Perusahaan kekal pemecatan guru enggan divaksin

Mahkamah Perusahaan kekal pemecatan guru enggan divaksin

Keengganan guru terima vaksin tanpa justifikasi perubatan tidak wajar dan tidak berasas.

mahkamah perusahaan malaysia
Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur menegaskan Peninsula Education (Setia Alam) mempunyai kewajipan berkanun untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan kakitangan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mahkamah Perusahaan memutuskan sebuah sekolah swasta di Shah Alam berhak memecat seorang guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 seperti diarahkan majikan pada 2021.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur, S Vanithamany, berkata guru tersebut perlu berinteraksi dengan ibu bapa, kakitangan sekolah dan murid, atas sebab itulah pihak sekolah mewajibkan semua kakitangan mengambil suntikan vaksin.

Walaupun guru itu berhak khuatir tentang kesan sampingan ubat atau vaksin, Vanithamany berkata kebimbangan mestilah wajar dan disokong justifikasi perubatan yang kukuh.

“Dia bukan pakar perubatan. Keengganannya terima vaksin tanpa sebarang justifikasi perubatan tidak wajar dan tidak berasas,” katanya dalam award dikeluarkan dua minggu lalu.

Guru warga asing itu yang dikenali sebagai Tifu, diambil bekerja oleh Peninsula Education (Setia Alam) Sdn Bhd mulai 18 Jan 2021 dengan gaji bulanan RM15,500.

Katanya, dia menjalankan tugasnya dengan tekun sehingga  diberhentikan kerja pada Disember tahun itu.

Menurut Tifu, dia menerima penilaian prestasi cemerlang daripada pengetua sekolah pada Jun 2021, dan turut menerima anugerah berprestij ‘Malaysia Outstanding Teacher Award 2021’ oleh Festival Kesenian Malaysia dan Asia Pasifik.

Dalam beberapa e-mel dan mesyuarat Zoom dengan pihak berkuasa sekolah, guru itu menegaskan tiada undang-undang menyatakan dia mesti menerima vaksin.

Katanya lagi, dasar vaksinasi mandatori tidak terkandung dalam kontrak pekerjaannya, walaupun Covid-19 sudah mula merebak di negara ini, dan perintah kawalan pergerakan (PKP) berkuat kuasa ketika dia ditawarkan pekerjaan.

Guru itu mendakwa, dia mempunyai alahan yang menghalangnya daripada menerima sebarang vaksin Covid-19. Dia turut berhujah tiada undang-undang mewajibkan vaksinasi untuknya terus berkhidmat di sekolah itu.

Menurutnya, walaupun kontrak menyatakan dia perlu diberi notis enam bulan, atau gaji sebagai ganti, syarikat itu hanya memberikan tempoh sembilan hari dan membatalkan visanya, menyebabkan dia terpaksa meninggalkan negara ini.

Peninsula Education membalas, pihaknya mematuhi sepenuhnya PKP dan sekatan lain di Malaysia, serta menanggung kos vaksinasi untuk kakitangan, iaitu RM190 seorang ketika itu.

Syarikat itu berkata, guru tersebut memberikan pelbagai alasan ‘remeh, tidak wajar dan tidak berasas’ atas keengganannya menerima vaksin.

“Keengganan (guru itu) mendapatkan vaksinasi melanggar Klausa 6.4 kontrak pekerjaan, di mana dia secara jelas bersetuju dengan semua arahan syarikat yang sah dan wajar, dan tidak bertindak dalam apa-apa cara yang bertentangan dengan dasar dan mana-mana undang-undang Malaysia,” katanya.

Peninsula Education berkata, pihaknya menggesa guru itu mempertimbangkan semula pendiriannya, menegaskan berulang kali bahawa syarikat memikul kewajipan penjagaan yang tinggi terhadap kakitangan dan pelanggan.

Dalam award, Vanithamany berkata, syarikat itu mempunyai kewajipan berkanun bawah Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua kakitangannya.

“Jelas kepada mahkamah ini bahawa syarikat telah mengambil semua langkah yang wajar, termasuk mengadakan beberapa mesyuarat secara maya untuk menjelaskan dasar vaksinasi kepada guru itu.

“Langkah ini diambil sebagai sebahagian tanggungjawab syarikat yang lebih luas untuk memastikan kebajikan dan keselamatan semua kakitangannya, seperti dikehendaki undang-undang dan juga kewajipan korporatnya,” katanya.

Beliau juga berkata, guru itu bekerja dalam persekitaran yang memerlukannya berhubung dan berurusan dengan kakitangan lain.

Katanya, guru itu tidak boleh menjalankan tugasnya dari jauh, kerana tidak praktikal bagi majikan untuk mewujudkan aturan khas, terutamanya memandangkan dia satu-satunya kakitangan yang enggan menerima vaksin.

“Mahkamah berpandangan, kelakuan (guru ini) enggan terima vaksin Covid-19 tidak wajar sama sekali. Berdasarkan semua keterangan, mahkamah ini yakin dia telah melanggar kontrak pekerjaannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.