
Saman itu berkaitan laporan Sin Chew Daily yang disiarkan pada 1 Sept 2020, yang mendakwa Khairuddin telah ke luar negara ketika negara berada di bawah PKP semasa pandemik Covid-19.
Khairuddin berada dalam barisan Kabinet ketika itu dengan memegang portfolio perusahaan perladangan dan komoditi.
Pesuruhjaya Kehakiman Asmah Musa membenarkan rayuan Khairuddin dan menganugerahkan RM35,000 sebagai ganti rugi am serta RM10,000 sebagai ganti rugi teruk.
Mahkamah turut mengarahkan Sin Chew membayar kos RM5,000, berserta faedah lima peratus setahun bermula tarikh penghakiman sehingga bayaran penuh dibuat.
Dalam penghakimannya, Asmah berkata kewartawanan dilindungi oleh prinsip ‘keistimewaan bersyara’, namun ia datang bersama tanggungjawab untuk mengesahkan fakta, mengekalkan laporan yang seimbang serta menggunakan gambar dengan berhati-hati.
Beliau menegaskan penyebaran pantas maklumat dalam talian dan risiko salah tafsir imej menjadikan ketelitian media semakin penting.
Menurut Asmah, tindakan Sin Chew Media Corp sebagai penerbit Sin Chew Daily tidak memenuhi standard organisasi media profesional kerana gagal menyemak kesahihan fakta sebelum menerbitkan laporan.
“Undang-undang melindungi kebebasan bersuara, tetapi bukan sehingga mengorbankan ketepatan fakta dan keadilan,” katanya dalam penghakiman setebal 12 halaman.
Laporan tersebut disiarkan di platform dalam talian Sin Chew dan menggunakan gambar peribadi Khairuddin semasa lawatan ke Belanda pada 2016, namun dikaitkan dengan dakwaan perjalanan ke Turki pada 2020.
Gambar sama turut dimuat naik ke Facebook Sin Chew dan dikongsi secara meluas.
Khairuddin berhujah bahawa laporan itu tidak benar, bersifat memfitnah, cuai serta sensasi.
Beliau turut mendakwa pihak penerbit tidak mengambil langkah untuk mengesahkan tarikh atau asal gambar, selain gagal menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan sebelum laporan diterbitkan.