88 ditahan di 7 negeri kerana ingkar PKP

88 ditahan di 7 negeri kerana ingkar PKP

Sarawak mencatat jumlah tertinggi dengan 37 orang ditahan atas kesalahan berkaitan PKP.

Penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bertujuan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
KUALA LUMPUR:
Walaupun penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 memasuki hari ke-10 pada Jumaat, namun masih ada rakyat yang ingkar hingga ditangkap pihak berkuasa.

Sehingga 6 petang Jumaat, 88 individu di 7 negeri ditahan pihak berkuasa atas kesalahan berkaitan penguatkuasaan PKP dengan Sarawak mencatat jumlah tertinggi, iaitu 37 orang.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Aidi Ismail berkata, 33 daripadanya ialah lelaki yang ditahan di 10 lokasi berasingan di negeri itu dalam 12 jam lalu (sejak 7 malam Khamis).

Seramai 19 individu turut ditahan di Johor, iaitu 11 di Mersing dan 8 remaja di Kota Tinggi kerana melakukan perkara sama.

Enam daripada 19 individu itu adalah kumpulan remaja yang ditahan ketika bersiap sedia mengadakan sambutan hari jadi di Dataran Sri Lanang, kira-kira 5.30 petang bagi meraikan hari kelahiran seorang daripada kumpulan remaja itu, kata Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Ahsmon Bajah.

Tiga lagi lelaki berusia 20-an ditahan ketika berkumpul dan berbual di Jalan Tanjung, Felda Sungai Sibol, Khamis malam.

Antara 11 individu yang ditahan di Mersing pula ialah remaja bawah umur dan semuanya ditahan sama ada ketika menunggang motosikal atau berkumpul di luar rumah pada 11.15 malam serta 2.05 pagi, kata Ketua Polis Daerah Mersing, Cyril Edward Nuing.

Sementara itu, Ketua Polis Labuan, Muhamad Farid Ahmad mendedahkan 2 individu berusia 30-an dan 40-an ditahan ketika melepak di tempat awam di Ujung Pasir, dekat lot kedai Utama Jaya sekitar 10 malam.

Kedua-duanya ditahan selepas gagal memberi alasan munasabah selepas disoal.

Seorang remaja berumur 16 tahun ditahan ketika asyik bermain sepak takraw bersama rakannya di sebuah kawasan perumahan di Pekan, Pahang kira-kira 7.20 malam, namun rakannya yang lain berjaya melarikan diri, menurut Ketua Polis Daerah Pekan, Mohd Razli Mohd Yusof.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Muhamad Halim Yatim pula memaklumkan penahanan 2 lelaki berumur 64 dan 45 tahun kerana berada di sebuah kedai runcit pada 12.15 malam, melebihi 10 malam yang dibenarkan.

Lima daripada 12 individu yang ditahan di daerah Timur Laut Pulau Pinang pada Jumaat dicekup ketika leka berkumpul sambil minum arak, manakala 7 lagi ketika berjoging dan bermain bola sepak di sebuah padang di Jalan DS Ramanathan, Pulau Tikus, menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menahan 9 orang, termasuk 2 wanita warga Thailand yang semuanya berusia 20 hingga 45 tahun kerana berkumpul di kawasan awam.

Tujuh lelaki berumur 27 hingga 46 tahun pula ditahan di Langkawi selepas melanggar PKP dengan berkumpul di luar kuarters sebuah motel di Jalan Pantai Chenang dan enggan beredar selepas dinasihat berbuat demikian, menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Mohd Iqbal Ibrahim.

Semua suspek yang ditahan di 7 negeri itu disiasat mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta Peraturan (3) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 atau di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.