
Peguamnya, Rafique Rashid yang mengesahkan penangkapan itu berkata, Chegubard ditahan di kediamannya pada 2.30 petang tadi.
Menurutnya, tiada keperluan penahanan memandangkan janji temu telah dibuat antara Chegubard dan pegawai penyiasat untuk hadir memberi keterangan, pada 11 pagi esok.
“Chegubard sentiasa telah memberi aku janji untuk menghadirkan diri di Bukit Aman.
“Tindakan pihak berkuasa dan/atau arahan yang diberikan oleh pihak atasan adalah amat dikesali lebih-lebih lagi apabila tiada sebarang insiden tidak diingini semasa mahupun susulan daripada himpunan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Rafique berkata, pihaknya akan menghubungi pegawai penyiasat berkenaan dan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Beliau berkata, kertas siasatan dibuka atas dakwaan empat kesalahan iaitu Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998, dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
Terdahulu, Chegubard menerusi catatan di Facebook memaklumkan akan hadir ke Bukit Aman pada 11 pagi esok bagi membantu siasatan.
Pada masa sama, beliau yang juga ketua Bersatu Port Dickson berkata sidang media juga akan dibuat.
Sebelum ini, dilaporkan polis menerima empat laporan berhubung himpunan itu termasuk satu kes melibatkan patung mirip perdana menteri di kawasan berhampiran Masjid Negara.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata tiga laporan lagi membabitkan penggunaan dron ketika perhimpunan.