Timbalan pengerusi PSM, 2 lagi ditahan bantah perobohan Kg Jalan Papan

Timbalan pengerusi PSM, 2 lagi ditahan bantah perobohan Kg Jalan Papan

S Arulchelvan berkata mereka cuba henti kerja perobohan rumah yang belum dikosongkan sepenuhnya.

PSM berkata penahanan timbalan pengerusinya, S Arulchelvan dan wakil penduduk, M Logeswaran serta aktivis M Mythreyar di lokasi perobohan itu sebagai tidak wajar.
PETALING JAYA:
Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arulchelvan dan dua lelaki lain ditahan kerana membantah kerja-kerja meroboh bangunan di Kampung Jalan Papan, Klang.

Arulchelvan memberitahu FMT bahawa beliau kini ditahan di IPD Klang Selatan bersama wakil penduduk M Logeswaran dan aktivis M Mythreyar.

Mereka dilaporkan ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Bagaimanapun, Arulchelvan berkata mereka hanya cuba menghentikan perobohan ke atas rumah yang belum dikosongkan sepenuhnya kerana masih ada keluarga di dalam ketika kerja itu dijalankan.

Beliau turut mendakwa salah seorang aktivis ditahan hanya kerana meminta polis menangguhkan kerja perobohan selama dua hari lagi.

Katanya, penahanan itu disifatkannya sebagai tidak wajar dan satu penyalahgunaan kuasa, sambil menambah bahawa mereka hanya melaksanakan arahan kerajaan Selangor supaya rumah yang masih berpenghuni tidak dirobohkan.

“Bagi saya, ini kes yang jelas. Saya rasa mereka menahan kami supaya kerja perobohan boleh diteruskan. Saya tak nampak sebab lain untuk menahan kami,” katanya.

Setiausaha Agung PSM, M Sivaranjini, turut menyifatkan penahanan itu sebagai tidak wajar dan berkata perkara tersebut sepatutnya boleh diselesaikan oleh kerajaan negeri.

“Kami kecewa dengan kerajaan. Mereka seolah-olah cuci tangan dalam isu ini,” katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa orang ramai berkumpul di IPD Klang Selatan bagi menunjukkan solidariti terhadap Arulchelvan dan dua yang lain.

Dalam beberapa hantaran di X, Santiago menggesa agar mereka dibebaskan, dan berkata kesalahan mereka hanyalah mempertahankan rumah yang dijanjikan kerajaan negeri untuk dilindungi.

Pada 8 Nov lalu, FMT melaporkan bahawa PSM dan Santiago menggesa kerajaan negeri menghentikan perobohan rumah kosong di kampung itu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula, berikutan kebimbangan bahawa kira-kira 100 keluarga akan kehilangan tempat tinggal.

Kerajaan negeri sebelum ini menyatakan bahawa hanya rumah dan premis perniagaan kosong akan dirobohkan. Namun, pada 27 Okt, penduduk menerima notis baharu untuk mengosongkan rumah mereka.

Mereka sejak itu merayu kepada Menteri Besar Amirudin Shari supaya campur tangan dan menghentikan kerja perobohan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.