
Bung Mokhtar berkata, seseorang adalah tidak bersalah sehinggalah dia didapati salah oleh mahkamah.
“Jika Zahid diberikan peluang (menyertai Kabinet), beliau boleh meletak jawatan jika didapati bersalah,” katanya hari ini.
Zahid berdepan 47 pertuduhan, iaitu 12 tuduhan pecah amanah jenayah, 8 rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Semalam Zahid berkata, beliau memutuskan untuk tidak menawarkan diri untuk dilantik ke dalam Kabinet Muhyiddin, yang dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.
Bung Mokhtar berkata, pertuduhan terhadap Zahid “dirancang” oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH), tetapi Umno Sabah percaya bekas timbalan perdana menteri itu akan dapat membersihkan namanya di mahkamah.
Beliau berkata, ramai pemimpin PH turut disiasat oleh pihak berkuasa dan sedia didakwa, tetapi pertuduhan terhadap mereka ditarik balik ketika PH berkuasa.
Katanya juga, Umno mempunyai 39 ahli Parlimen dan sebilangan mereka harus dilantik ke dalam Kabinet yang bakal diumumkan.
Umno Kedah dan Kelantan juga mahu Zahid sertai Kabinet
Sementara itu, Umno Kedah turut memberi gesaan sama kepada Muhyiddin, walaupun mengakui kuasa melantik menteri terletak di tangan perdana menteri.
Pengerusinya, Jamil Khir Baharom berkata, Zahid perlu sama-sama berada dalam barisan Kabinet dalam menentukan corak pentadbiran negara.
“Pada saat Zahid menawarkan diri untuk tidak dicalonkan dalam barisan Kabinet baru, kenyataan terbuka ini membawa gambaran bahawa presiden Umno itu amat terbuka dan berjiwa besar dengan meletakkan negara di hadapan bukannya pangkat.
“Justeru dalam keadaan apa sekalipun presiden Umno perlu berada dalam barisan Kabinet baru yang bakal diumum bagi mengambil tanggungjawab atas mandat baru kepimpinan melalui perkenan Agong serta harapan rakyat,” katanya.
Juga senada ialah Umno Kelantan yang menyifatkan keberadaan Zahid dalam Kabinet adalah sebagai lambang maruah parti.
“Ini bukan soal Zahid semata-mata, ia merupakan penghormatan, kepercayaan dan maruah Umno sebagai sebuah parti dengan pengiktirafan terhadap ketua parti,” kata pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub.
“Mengambil kira pengalaman beliau sebagai anggota Kabinet yang hampir 2 dekad, pastinya akan dapat membantu perdana menteri membina semula negara di bawah pentadbiran Muhyiddin,” katanya dengan menegaskan bahawa kes mahkamah yang membabitkan Zahid tidak harus dijadikan alasan (untuk menolak pelantikan) kerana beliau belum dibuktikan bersalah.