Malindo Air diheret ke mahkamah atas kebocoran data pelanggan

Malindo Air diheret ke mahkamah atas kebocoran data pelanggan

Sumber berkata, syarikat penerbangan itu didakwa di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada awal bulan ini.

Pada 27 Sept tahun lalu, Malindo Air menyalahkan 2 bekas pekerja kontraktor e-dagangnya mencuri data penumpangnya. (File pic)
PETALING JAYA:
Malindo Air didakwa di mahkamah awal bulan ini berkaitan kebocoran data membabitkan butiran peribadi penumpangnya.

Sumber yang rapat dengan perkara itu memberitahu FMT, syarikat penerbangan itu didakwa di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sebutan semula kes itu ditetapkan pada 9 Mac ini.

September tahun lalu, media melaporkan butiran kira-kira 30 juta penumpang Malindo Air dan anak syarikat Lion Group, Thai Lion Air disebarkan dalam forum atas talian.

Menurut syarikat keselamatan siber berpangkalan di Moscow, maklumat dibocorkan itu termasuk butiran pasport, alamat rumah dan nombor telefon penumpang.

Fail itu dimuat naik dan disimpan pembekal awan, Amazon Web Services yang merupakan penyedia perkhidmatan data luaran Malindo.

Kaspersky dilaporkan berkata, sebahagian daripada pangkalan data yang bocor itu dijual di Dark Web.

Malindo Air kemudiannya menyalahkan 2 bekas pekerja kontraktor e-dagangnya mencuri data pelanggannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.