
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen (CEO) untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, pemilikan MySejahtera diragui.
“Ini telah menjadi masalah sejak awal,” katanya kepada FMT.
“Tiada bukti bahawa kerajaan benar-benar memiliki aplikasi itu atau merupakan penerima tunggal bagi sejumlah besar data perubatan dan maklumat peribadi yang dikumpul.”

Beliau berkata, tiada bukti kontrak telah ditandatangani, yang akan menjelaskan isu perundangan dan kewangan ini.
Bagaimanapun, beliau mengakui langkah menggunakan aplikasi digital untuk menguruskan janji temu di fasiliti penjagaan kesihatan awam adalah bagus.
Kenyataan Azrul menyusuli kenyataan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa bahawa KKM akan memperluas penggunaan MySejahtera untuk penetapan janji temu di hospital dan klinik kerajaan bagi mengurangkan kesesakan dan masa menunggu.
Zaliha berkata, janji temu boleh dibuat untuk rawatan pesakit luar, kunjungan bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI), skim penjagaan kesihatan bagi kumpulan B40 (PeKa B40) dan perkhidmatan lain.
Azrul berkata, perkhidmatan janji temu digital harus berfungsi seiring dengan perkhidmatan sedia ada sebaik sahaja isu-isu berhubung aplikasi itu ditangani.
“Cabarannya adalah untuk memastikan KKM dapat menyelaraskan kedua-dua kaedah tersebut,” katanya.
“Perkara ini boleh dilakukan dengan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem IT sedia ada.”
Bagaimanapun, katanya, masalah utama bukan sistem janji temu, tetapi bilangan pesakit yang ramai, kakitangan penjagaan kesihatan yang terbeban dengan kerja dan kapasiti terhad di hospital.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, dua syarat mesti dipenuhi sebelum penggunaan aplikasi itu diperluas.
“Kementerian Kesihatan (KKM) sepatutnya menjadi pemilik tunggal MySejahtera dan perlu ada perlindungan keselamatan siber bagi mengelakkan kebocoran data,” katanya.
Katanya, KKM mesti bersedia untuk menyediakan alternatif kepada mereka yang tidak mempunyai telefon pintar dan mereka yang tidak dapat mengakses aplikasi itu atas sebarang sebab.
Beliau mencadangkan kerajaan membenarkan saudara mara dan penjaga membuat janji temu bagi mereka yang tidak mampu berbuat demikian.
Awal tahun ini, Anwar Ibrahim, ketika itu ketua pembangkang, menyumbang kepada gesaan yang semakin kuat agar aplikasi itu tidak lagi digunakan, dengan berkata tiada keperluan untuknya selain sijil vaksinasi Covid-19.
Beliau berkata, penemuan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung pembangunan dan perolehan MySejahtera menunjukkan kekurangan ketelusan di pihak kerajaan.
Anwar juga berkata, salah satu perkara yang paling membimbangkan ialah “potensi tinggi kebocoran data”, yang mendedahkan maklumat kepada entiti milik asing.
Pada Oktober, Pengerusi PAC Wong Kah Woh berkata, pelantikan KPISoft Malaysia Sdn Bhd untuk membangunkan MySejahtera tidak mengikut prosedur yang ditetapkan kerajaan.
Katanya lagi, tiada minit mesyuarat atau dokumen sokongan mengenai pelantikan KPISoft, yang sebelum ini dikenali sebagai Entomo.
PAC berkata, kerajaan mesti mengekalkan pemilikan penuh aplikasi itu untuk digunakan dalam mendigitalkan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam dan mesti memastikan keselamatan data pengguna.