
LHDN dalam kenyataan berkata, semua data pembayar cukai di platform MyTax selamat dan terjamin kerana dilindungi teknologi keselamatan data diiktiraf.
“Kami memandang serius isu ini dan meletakkannya keutamaan tertinggi dalam usaha meningkatkan keyakinan serta kepercayaan pembayar cukai terhadap perkhidmatan LHDN.
“Kami akan terus berusaha menambah baik mutu perkhidmatan dan bertindak secara proaktif dan telus bagi menangani isu ini,” katanya.
Terdahulu, Malaysiakini hari ini melaporkan aduan pengguna media sosial berhubung maklumat peribadi pembayar cukai boleh diakses sesiapa saja melalui laman sesawang MyTax LHDN.
Portal itu memetik pakar IT yang mendakwa hanya nombor MyKad pembayar cukai diperlukan untuk mengakses maklumat seperti alamat rumah, nombor telefon, nombor akaun bank dan alamat e-mel.
Malaysiakini juga melaporkan laman sesawang MyTax tergendala sejak tengah hari tadi, “tetapi tidak dapat dipastikan jika ia ada kaitan dengan isu kebocoran data”.
Semakan pada 4.30 petang tadi mendapati laman sesawang itu kembali berfungsi.
Difahamkan, pentadbir halaman menyulitkan (encrypted) data peribadi di laman sesawang itu untuk menyukarkan ia diakses orang ramai.