1.8 juta nombor akaun Maybank didakwa bocor tidak wujud, kata Fahmi

1.8 juta nombor akaun Maybank didakwa bocor tidak wujud, kata Fahmi

Menteri komunikasi dan digital berkata, siasatan mengenai kebocoran data SPR akan diserahkan kepada Nacsa untuk tindakan lanjut memandangkan ia di luar bidang kuasa Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Dakwaan dibuat oleh pengguna Twitter yang mendakwa terdapat kebocoran data membabitkan 13 juta rakyat Malaysia dari pangkalan data Maybank, Astro dan SPR. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak 1.8 juta akaun pelanggan Maybank yang didakwa bocor adalah tidak sah atau tidak wujud kerana transaksi tidak boleh dilakukan melalui nombor akaun tersebut, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Fahmi merujuk kepada dakwaan kebocoran data melibatkan hampir 13 juta rakyat Malaysia daripada pangkalan data milik Maybank, Astro dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dakwaan itu dibuat melalui laman sesawang “pendakwah teknologi” semalam.

“Siasatan awal juga mendapati terdapat potensi data yang didakwa bocor adalah merujuk kepada satu insiden kebocoran yang berlaku pada tahun 2018,” kata Fahmi dalam kenyataan.

Bagaimanapun Fahmi berkata, pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan adalah diperlukan untuk tujuan siasatan terperinci di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

Berdasarkan dakwaan dalam hantaran laman sesawang berkenaan, pada 7.56 malam 25 Dis lalu menyenaraikan 3.5 juta maklumat pengguna Astro, 1.8 juta pengguna Maybank dan 7.2 juta pengguna SPR.

Maklumat yang dibocorkan didakwa membabitkan nama penuh, tarikh lahir, alamat dan nombor kad pengenalan pengguna.

Kata Fahmi, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia (CSM) sedang mendapatkan maklum balas daripada Maybank dan Astro berhubung dakwaan kebocoran data bagi memastikan kesahihan pemilikan data.

Menurut Fahmi lagi, siasatan mengenai kebocoran data SPR dalam laman sesawang berkenaan akan diserahkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) untuk tindakan selanjutnya memandangkan ia adalah di luar bidang kuasa Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Katanya, pihaknya juga telah mengemukakan notis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menghalang orang awam mengakses laman sesawang tersebut.

“Saya ingin mengingatkan semua pengguna data agar sentiasa memastikan tahap keselamatan siber berada pada paras yang baik dan sentiasa mematuhi prinsip dan standard perlindungan data peribadi selaras dengan Akta 709,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.