
Astro dalam kenyataan berkata keselamatan maklumat pelanggannya merupakan kepentingan utama syarikat itu.
“Kami percaya bahawa kami mengambil tindakan keselamatan sewajarnya untuk melindungi data para pelanggan kami.
“Penyiasatan sedang giat dijalankan dan kami akan memaklumkan jika terdapat laporan terkini,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini sebuah laman sesawang mendakwa berlaku kebocoran data melibatkan hampir 13 juta rakyat Malaysia daripada pangkalan data milik Maybank, Astro dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kebocoran itu membabitkan 3.5 juta maklumat pengguna Astro, 1.8 juta pengguna Maybank dan 7.2 juta pemilih berdaftar SPR.
Bagaimanapun, Maybank dalam satu kenyataan memberitahu syarikat itu tidak mengalami sebarang kebocoran data dan akan menyiasat dakwaan itu.
Susulan dakwaan itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat orang awam daripada mengakses laman sesawang tersebut.
Ketika ini Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia (CSM) sedang mendapatkan maklum balas daripada Maybank dan Astro berhubung dakwaan kebocoran data bagi memastikan kesahihan pemilikan data.