Dakwaan kebocoran data, JPDP ambil keterangan pengasas Misi Rakyat

Dakwaan kebocoran data, JPDP ambil keterangan pengasas Misi Rakyat

JPDP akan bekerjasama dengan CSM untuk menyiasat insiden itu jika berlaku pelanggaran Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Pengasas Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi dipanggil ke Jabatan Perlindungan Data Peribadi semalam.
PETALING JAYA:
Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) merakam keterangan pengasas laman sesawang Misi Rakyat susulan dakwaan ketirisan data peribadi akibat digodam minggu lalu.

Katanya, pengasas Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi dipanggil ke JPDP semalam.

Insiden penggodaman itu dimuat naik seorang penggodam di BreachForums dan aplikasi Telegram pada 3 dan 4 Julai.

JPDP berkata, ia menerima laporan insiden ketirisan data Misi Rakyat milik Bangsa Bertauhid Sdn Bhd daripada MyCERT, CyberSecurity Malaysia (CSM) pada 4 Julai lalu dan menghubungi syarikat itu bagi mendapatkan pengesahan serta sampel data.

“JPDP juga telah mengarahkan syarikat tersebut menjalankan siasatan dalaman dan melengkapkan borang Notifikasi Ketirisan Data (DBN).

“JPDP memulakan siasatan terhadap insiden ini selepas menerima borang DBN daripada Bangsa Bertauhid Sdn Bhd pada 10 Julai,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ia bekerjasama dengan CSM untuk menyiasat insiden itu jika berlaku pelanggaran Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Katanya, semua syarikat dan organisasi memproses data peribadi dalam transaksi komersial perlu mematuhi prinsip, peraturan dan standard perlindungan data peribadi di bawah akta sedia ada.

“Syarikat dan organisasi juga diingatkan lebih berhati-hati ketika memproses data peribadi bagi mengelak berlakunya insiden ketirisan data peribadi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.