Menteri gesa Cybersecurity, JPDP siasat kebocoran maklumat 13 juta rakyat

Menteri gesa Cybersecurity, JPDP siasat kebocoran maklumat 13 juta rakyat

Maklumat yang dibocorkan didakwa melibatkan nama penuh pengguna, tarikh lahir, alamat serta nombor kad pengenalan.

Fahmi Fadzil turut meminta pihak berkenaan mengambil tindakan jika benar dakwaan hampir 13 juta maklumat pengguna Maybank, SPR dan Astro bocor.
KUALA LUMPUR:
Cybersecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) diminta menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku kebocoran data maklumat membabitkan 13 juta rakyat Malaysia yang tersebar di media sosial awal pagi tadi.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, kebocoran data berkenaan adalah serius, melibatkan jumlah maklumat yang banyak.

“Saya akan minta Cybersecurity, JPDP siasat apakah benar berlaku kebocoran data melibatkan pihak-pihak berkenaan, serta mengambil tindakan berdasarkan undang-undang,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, beliau berkongsi hantaran milik pengguna akaun Facebook dengan nama Pendakwah Teknologi yang mendakwa hampir 13 juta maklumat pengguna daripada Maybank, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Astro telah bocor.

Berdasarkan hantaran itu, pada 25 Dis 2022 kira-kira 7.56 malam, sebuah laman web telah menyenaraikan 3.5 juta maklumat pengguna Astro, 1.8 juta pengguna Maybank dan 7.2 juta pengguna SPR.

Maklumat yang dibocorkan didakwa melibatkan nama penuh pengguna, tarikh lahir, alamat serta nombor kad pengenalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.