2 pelajar Tingkatan 5 langgar kereta peronda polis ditahan miliki syabu

2 pelajar Tingkatan 5 langgar kereta peronda polis ditahan miliki syabu

2 remaja itu ditahan bersama kenderaan pacuan 4 roda yang dinaiki mereka tanpa lesen memandu.

Polis Tawau menahan 2 remaja yang masih bersekolah kerana memiliki syabu selepas melanggar kereta peronda polis.
TAWAU:
Polis Tawau menahan 2 remaja lelaki Tingkatan 5 selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dan melanggar kereta peronda polis dalam kejadian di Batu 2, Jalan Apas, pukul 10.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Peter Umbuas berkata kedua-dua remaja yang bersekolah di daerah itu ditahan bersama kenderaan pacuan 4 roda Toyota Hilux Revo yang dinaiki mereka dengan bantuan anggota pasukan khas “Strike Team” Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Beliau berkata ketika kejadian pihaknya dalam perjalanan menuju ke Balung untuk Operasi Samseng Jalanan sebelum terserempak dengan kenderaan suspek yang mencurigakan.

“Ketika anggota polis tiba di Batu 5, Jalan Apas kenderaan suspek tiba-tiba keluar dari persimpangan dan memecut ke arah Jalan Apas sehingga ke Bulatan Bandar Sri Indah, sebelum berpatah balik ke arah bandar selepas menyedari kehadiran polis.

“Apabila tiba di susur jalan pusingan Batu 2, Jalan Apas kenderaan suspek merempuh laju sebuah kereta Perodua Bezza dan kereta peronda polis jenis Isuzu Dmax,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peter berkata hasil pemeriksaan polis kemudiannya menemui 5.11g dadah jenis syabu yang disembunyikan di bawah alas kaki tempat pemandu kereta yang dinaiki suspek.

“Kedua-dua remaja yang juga tidak memiliki lesen memandu ditahan atas kesalahan trafik dan dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.