Raja Permaisuri Agong kurnia penghargaan kepada 28 pelajar cemerlang bahasa Inggeris

Raja Permaisuri Agong kurnia penghargaan kepada 28 pelajar cemerlang bahasa Inggeris

Pelajar terdiri pelbagai kaum dari seluruh negara yang pernah menang pertandingan bahasa Inggeris antaranya di Itali, Amerika Syarikat, Brazil, United Kingdom dan Singapura.

Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah fb pic 30126
Penerima bergambar bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan sijil penghargaan kepada 28 pelajar Malaysia yang meraih kejayaan dalam pertandingan bahasa Inggeris peringkat antarabangsa.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, pengurniaan sijil itu berlangsung dalam satu sesi menghadap di Dewan Seri Temenggong, Istana Negara, di sini, semalam.

Pelajar berkenaan terdiri pelbagai kaum dari seluruh negara, yang pernah memenangi pertandingan bahasa Inggeris antaranya di Itali, Amerika Syarikat, Brazil, United Kingdom dan Singapura.

Hadir sama dalam majlis pengurniaan itu Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Azmi Rohani dan Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Azuan Effendy Zairakithnaini.

Antara penerima penghargaan ialah Evangeline Khoo dan Liew Erynn dari Kuala Lumpur memenangi pertandingan The Queen’s Commonwealth Essay Competition di London pada 2024.

Sebelum ini, Khoo dan Liew pernah menerima penghargaan daripada Permaisuri Camilla di Istana Buckingham, London.

“Kami tidak menyangka dengan sebuah esei, kami dapat bertemu dengan dua Permaisuri dalam hidup kami. Pada hari ini, kami dapat masuk ke Istana Negara dan menerima penghargaan daripada Raja Permaisuri Agong.

“Ini adalah penghormatan tertinggi dan paling istimewa dalam hidup kami,” kata mereka kepada Royal Press Office (RPO).

Sementara itu, pemenang pingat emas Global English Language Olympiad of Southeast Asia (GELOSEA) 2025 di Incheon, Korea Selatan, Darrel Nathaneal Buko Desmond dari Sarawak berkata penghargaan diterimanya menjadi pembakar semangat untuk terus menuntut ilmu.

Darrel turut menitipkan pesanan kepada rakan pelajar lain supaya berani mencabar diri di peringkat antarabangsa.

“Jangan takut untuk gagal, kegagalan adalah titik mula untuk kejayaan. Jadi sertailah pertandingan sebanyak mungkin untuk memajukan diri sendiri dan bagi memperoleh pengalaman bermakna dalam hidup,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.