
Menyedari hakikat itu, program Sekolah Angkat Madani diperkenalkan kerajaan memainkan peranan penting dengan menghimpunkan sekolah, agensi kerajaan dan syarikat korporat bagi mempertingkatkan persekitaran pembelajaran serta merapatkan jurang pendidikan, khususnya dalam kalangan komuniti memerlukan.
Bagi SD Guthrie Berhad (Guthrie), penyertaan dalam program itu bukan sekadar memenuhi keperluan tanggungjawab sosial korporat, sebaliknya menjadi sebahagian usaha memperkasa komuniti di sekitar operasinya.
Melalui inisiatif Sekolah Angkat Madani, Guthrie menyokong 3,699 pelajar dan 385 guru di 15 sekolah rendah dan menengah terletak di dalam atau berhampiran kawasan operasi perladangannya, menerusi pendekatan holistik yang melangkaui pencapaian akademik semata-mata.
Antara penambahbaikan dilaksanakan termasuk penyediaan papan pintar, komputer riba, peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta sumber literasi dan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memodenkan proses pembelajaran dan membuka akses kepada pendidikan digital.
Sebagai contoh, di SJKT Pulau Carey Timur, pelaksanaan program Genius Readers mengubah cara pelajar berinteraksi dengan bahan bacaan. Melalui amalan pembacaan harian yang konsisten, sama ada secara berpandu atau bebas, pelajar dapat membina keyakinan, kefasihan serta minat membaca, sekali gus mengukuhkan asas prestasi akademik mereka.
Sokongan Guthrie turut merangkumi aspek prasarana asas yang sering terlepas pandang tetapi memberi impak besar terhadap pembelajaran iaitu penukaran pendawaian elektrik, pembaikan pagar, penambahbaikan sistem saliran serta pengudaraan bagi mewujudkan persekitaran sekolah lebih selamat dan kondusif.
Di luar bilik darjah, kemudahan sukan seperti padang kriket dan gelanggang bola keranjang turut dinaik taraf bagi menyokong perkembangan fizikal pelajar serta memupuk keyakinan diri dan semangat kerja berpasukan.
Komitmen berterusan syarikat itu turut dizahirkan melalui penglibatan langsung pengurusan tertinggi. Pada 2025, seramai 13 anggota pengurusan kanan Guthrie mengadakan lawatan ke sekolah angkat di sembilan negeri, bagi berinteraksi dengan guru, pelajar dan pentadbir sekolah serta mengenal pasti keperluan sebenar di peringkat akar umbi.

Ketua Pegawai Sumber Manusia Guthrie, Shahrizan Aini Shamsul Khalil, berkata pendidikan adalah pemacu penting kepada mobiliti sosial.
Katanya, secara keseluruhan inisiatif itu mencerminkan kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam menyokong agenda pendidikan negara.
“Pendidikan boleh mengubah kehidupan. Guthrie sentiasa memberi tumpuan kepada pendekatan holistik. Dengan memperkasakan sekolah dan komuniti di sekitar operasi, kami mahu sumbangan ini membawa perubahan bermakna bukan sahaja untuk hari ini, tetapi dalam jangka panjang,” katanya.
Menurutnya, melalui sokongan yang bersasar, Guthrie membantu merapatkan jurang sumber, memperkenalkan alat pembelajaran moden serta melengkapkan pelajar dengan kemahiran relevan untuk masa depan.
Dengan meneruskan program berkenaan, Guthrie menegaskan komitmennya untuk mengekalkan hubungan rapat dengan sekolah angkat, selari keperluan sentiasa berubah sekali gus menjadikan pendidikan sebagai teras pelaburan masyarakat.