Pakatan baru dengan Dr M demi kembalikan kerajaan dikuasai pemimpin Islam, kata Hadi

Pakatan baru dengan Dr M demi kembalikan kerajaan dikuasai pemimpin Islam, kata Hadi

Presiden PAS itu berkata, masalah nama tidak timbul, tetapi yang penting ialah konsep muafakat.

Dr Mahathir Mohamad sudah beberapa kali menemui Abdul Hadi Awang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengakui beliau menyokong pakatan baru dengan Dr Mahathir Mohamad untuk memastikan kerajaan kembali diketuai umat Islam, susulan spekulasi pembentukan Pakatan Nasional antara partinya, Umno dan PPBM.

Beliau berkata, umat Islam perlu menguasai pentadbiran negara dengan memastikan perubahan positif dilaksanakan serta tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu.

Tetapi katanya, terlalu awal untuk PAS membuat keputusan kerana mereka perlu menelitinya satu persatu terlebih dahulu.

“Langkah awal kita perkenalkan Muafakat Nasional, menyatukan kuasa politik Melayu dan Islam. Ini yang paling utama. Kuasa politik Islam mesti dominasi pemerintahan kerana terdapat kecanggungan dalam Pakatan Harapan hari ini.

“PH didominasi bukan Islam sedangkan orang Islam 69% di seluruh negara, tiba-tiba mereka boleh kuasai lebih dalam kerajaan. Ia satu keperluan, tetapi perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Masalah nama tidak timbul, tetapi apa yang penting adalah konsep muafakat,” katanya dalam kuliah subuh mingguan di Masjid Rusila, Marang, Terengganu hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa berkata, pembentukan kerajaan baru yang didakwa diberi nama Pakatan Nasional hanya polemik politik kerana 5 parti dalam PH masih bekerjasama erat.

Katanya, spekulasi itu timbul susulan ketidaktentuan berhubung peralihan kuasa antara Mahathir dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Dakwaan pembentukan pakatan baru itu dibuat Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam pada Isnin lalu yang mendakwa Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi menyokong rancangan itu untuk mengelakkan pertuduhan rasuah terhadapnya.

Pada 20 Jan lalu, FMT melaporkan kemungkinan berlaku penjajaran baru politik yang boleh mendorong PAS ke mercu kuasa kerajaan persekutuan berikutan kemerosotan sokongan kepada PH.

Penjajaran baru itu yang dikatakan akan menghimpunkan pihak menyokong Mahathir dengan pengaruh PAS di negeri majoriti Melayu akan memberi kesan besar ke atas DAP dan Anwar.

Bagaimanapun, Mahathir dalam responsnya memandang ringan laporan berhubung kemungkinan menjalin kerjasama dengan PAS dan berkata, tugasnya ialah berjumpa “semua orang”, termasuk musuhnya.

Hadi berkata, sebarang perubahan dalam kerajaan perlu melalui proses demokrasi dan tidak perlu dilakukan secara gopoh.

Katanya, ada banyak cara demokrasi untuk menukar kepimpinan negara, antaranya melalui undi tidak percaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.